Sorting by

×

Pembayaran tanpa tunai di 27 Agrobazaar Rakyat FAMA menjelang 2024

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SERKAM 13 Oktober – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menyasarkan 27 Agrobazaar Rakyat (ABR) melaksanakan kaedah pembayaran tanpa tunai menjelang tahun hadapan.

Pengarahnya, Hairudin Yunos berkata, kaedah pembayaran tanpa tunai bakal mewujudkan budaya baharu dalam kalangan usahawan FAMA selaras dengan usaha kearah pendigitalan yang mampu meningkatkan lagi hasil jualan.

Katanya, kaedah itu juga dapat mendidik masyarakat supaya beralih kepada pembayaran digital sebagaimana disarankan Kerajaan Negeri.

“Berikutan itu, FAMA bekerjasama dengan PayNet, sebuah syarikat yang menyediakan kemudahan peralatan tanpa tunai di semua outlet Agrobazaar Rakyat.

“FAMA Melaka meletakkan sasaran semua usahawan di 27 Agrobazaar Rakyat di negeri ini akan melaksanakan pembayaran tanpa tunai. Dalam tempoh tiga bulan terakhir ini kita lihat perkembangan di Agrobazaar Rakyat Pasar Mini Esah Haniff sebelum diperluaskan ke outlet lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Go Cashless di Agrobazaar Rakyat Pasar Mini Esah Haniff di Jalan Umbai, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hairudin berkata bagi menggalakkan usahawan Agrobazaar Rakyat melaksanakan kaedah itu, FAMA membekalkan barangan tambahan bernilai RM15 untuk diberikan secara percuma kepada pelanggan yang berbelanja RM50 ke atas di outlet berkenaan.

Terdahulu, Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli berkata sebanyak 131 siri kempen pendigitalan pembayaran tanpa tunai fasa pertama telah dilaksanakan di seluruh negara melibatkan 3,692 usahawan FAMA sejak September tahun lepas hingga Julai tahun ini.

Beliau berkata kempen pendigitalan fasa dua pula yang bermula sejak September lepas membabitkan 14 outlet Agrobazaar Rakyat di seluruh negara dan empat Pasar Tani Kekal (PTK) iaitu di Johor dan Kedah dengan melibatkan 220 usahawan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1005
Kongsi :
Previous post Hari Bertemu Rakyat DUN Kota Laksamana 28 Oktober depan
Next post Tun Mohd Ali beri kejutan di MITC
Ubah saiz-+=