Pembinaan Muzium Kereta Api Gemas dalam pelaksanaan secara berperingkat

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SEREMBAN, 21 April – Pembinaan Muzium Kereta Api Gemas kini dalam proses pelaksanaan secara berperingkat oleh Majlis Daerah Tampin (MDT), dengan persetujuan bersama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Pejabat Daerah Kecil Gemas telah menerima peruntukan RM490,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada tahun lepas, bagi melaksanakan kerja menaik taraf stesen kereta api lama Gemas kepada muzium.

“Kerja naik taraf tersebut telah siap pada November. Perancangan selanjutnya adalah membangunkan Muzium Kereta Api Gemas menerusi tiga fasa dengan fasa pertama melibatkan RM1.06 juta, bagi membaik pulih bangunan lama dan gerabak kereta api,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abd Razak Ab Said (BN-Gemas) mengenai perancangan kerajaan negeri untuk merealisasikan sebuah muzium kereta api di Gemas, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Katanya bagi fasa dua iaitu antara tahun ini dan 2023, permohonan peruntukan sebanyak RM1 juta telah dihantar ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta MOTAC, bagi pembinaan bangunan muzium tambahan, baik pulih jambatan timbang, baik pulih ‘turn table’ lokomotif lama dan landasan lama.

Selain itu, beliau berkata peruntukan sebanyak RM2 juta pula diperlukan bagi menaik taraf landskap, pusat riadah tepian sungai dan tempat letak kereta, untuk fasa tiga bagi 2023 hingga 2024.

Menurutnya RAC telah bersetuju supaya MDT mengambil alih operasi kawasan stesen lama untuk dijadikan muzium kereta api, dan perjanjian di antara MDT serta RAC akan ditandatangani dalam masa terdekat.

“Selain itu, KTMB juga bersetuju menguruskan muzium dan menyediakan bahan pameran selaras dengan kelulusan daripada pihak pengurusan atasan KTMB, agar kesemua koleksi KTMB dari zaman penjajahan diletakkan di Muzium Kereta Api Gemas,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3503
Kongsi :
Previous post Pesara tentera didenda RM80,000 terima wang tunai berhubung kerja rasmi
Next post Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan Asas 2022 berada pada kadar 18.33 peratus – PM
Ubah saiz-+=