Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan Asas 2022 berada pada kadar 18.33 peratus – PM

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KUALA LUMPUR, 21 April – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) Asas Tahun 2022 negara setakat 15 April lepas adalah pada kadar 18.33 peratus.

Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) tahun ini, yang dipengerusikannya dan turut dihadiri empat Menteri Kanan serta ketua jabatan dan agensi yang terlibat secara dalam talian.

“Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) telah diwujudkan, bagi menangani cabaran-cabaran utama dalam pengagihan DE.

“Mesyuarat juga bersetuju supaya ketua setiausaha semua kementerian melaporkan status perbelanjaan DE kepada menteri masing-masing setiap bulan, supaya tindakan segera dapat diambil bagi mempercepatkan pelaksanaan projek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata selaras sasaran negara untuk mencapai status berpendapatan tinggi pada 2025, mesyuarat hari ini turut meluluskan rangka kerja untuk memantau prestasi beberapa petunjuk untuk mencapai sasaran tersebut.

Ismail Sabri berkata, petunjuk itu merangkumi tiga komponen iaitu kemakmuran, inklusiviti dan kemampanan.

Beliau berkata ini termasuk pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan isi rumah; peningkatan daya saing dan produktiviti; peningkatan sumbangan industri berimpak tinggi kepada ekonomi; pembasmian kemiskinan tegar dan pembangunan negeri yang seimbang; serta kemampanan dan daya tahan alam sekitar.

Selain itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat turut membincangkan strategi kerajaan dalam membasmi miskin tegar menjelang tahun 2025, yang mana Fasa Satu Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) telah bermula bulan ini, melibatkan 80 lokaliti dan kira-kira 5,000 ketua isi rumah (KIR).

Secara keseluruhannya, beliau berkata sebanyak 1,000 lokaliti akan dipilih untuk pelaksanaan BMTKM sehingga penghujung tahun 2025.

“Pelaksanaan BMTKM menggunakan pendekatan baru yang lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan memberi tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan KIR miskin tegar secara mampan,” katanya.

Perdana Menteri berkata mesyuarat turut dimaklumkan berkenaan Perancangan Projek Tebatan Banjir yang berjumlah RM15 bilion bagi tempoh lapan tahun bermula tahun hadapan sehingga 2030.

“Kaedah pembiayaan projek-projek ini sedang diperincikan oleh Kementerian Kewangan. Perancangan secara holistik ini merangkumi projek jangka masa pendek, sederhana dan panjang,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

541
Kongsi :
Previous post Pembinaan Muzium Kereta Api Gemas dalam pelaksanaan secara berperingkat
Next post Sarang penagih di pesisir pantai diserbu
Ubah saiz-+=