Pembukaan Daerah Masjid Tanah tetap diutamakan – Idris

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 9 Dis. – Cadangan pembukaan daerah baharu di negeri ini bagi memperkasa dan menambah baik mutu perkhidmatan awam di negeri ini bukannya kehendak politik, malah ditubuhkan bagi memenuhi keperluan semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir, Datuk Seri Utama Idris Haron berkata, kerajaan negeri akan menumpukan beberapa keutamaan yang perlu dipertingkatkan bagi menubuhkan beberapa daerah dengan keutamaan kepada Daerah Masjid Tanah, Merlimau dan Sungai Rambai.

Katanya, pemecahan beberapa daerah di negeri ini, sekali gus mampu meningkatkan mutu perkhidmatan awam di Melaka dengan memfokuskan kawasan yang ditumpukan berbanding pada keadaan daerah yang berskala besar sebelum ini.

Jelasnya, sebelum menubuhkan daerah baharu sebuah Jawatankuasa Menambahbaik Perkhidmatan Awam telah ditubuhkan dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan perlu melalui beberapa proses menerusi kriteria yang ditetapkan kerajaan.

“Menubuhkan daerah baharu bukannya satu proses yang mudah kerana ia perlu memenuhi 23 kriteria utama dan memerlukan tempoh masa yang begitu panjang.

“Antara 23 kriteria itu termasuk keluasan daerah, jumlah penduduk, produktiviti daya pengeluaran, kegiatan penduduk kegunaan-kegunaan asas sedia ada serta pelbagai lagi.

“Proses ini memerlukan jangka masa panjang dan kerajaan negeri memerlukan beberapa perincian lain untuk menubuhkan daerah ini dan bagi pembukaan Daerah Masjid Tanah dijangkakan akan dibuka menjelang tahun 2025,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan diajukan (DAP-Banda Hilir) Datuk Tey Kok Kiew pada Persidangan Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14 diadakan di Seri Negeri, hari ini.

Dalam pada itu, Idris (BN-Sungai Udang) berkata, kerajaan negeri akan mengutamakan pembukaan Daerah Masjid Tanah dengan perincian yang perlu dilengkapkan mengikut ketetapan Kerajaan Persekutuan.

“Untuk makluman, cadangan pembukaan daerah baharu seperti Masjid Tanah dan Merlimau telah diusulkan sejak tahun 1990-an bagaimanapun ia terbantut kerana keperluan yang tidak menepati dan hari ini telah tiba masanya untuk kita buka keperluannya terhadap negeri dan rakyat.

“InsyaAllah, selepas proses yang berlangsung ini dan telah terbukanya Daerah Masjid Tanah kita akan teruskan hasrat ini untuk membuka daerah baharu yang lain diikuti Merlimau dan daerah kecil Sungai Rambai,” katanya.

Views:

367
Kongsi :
Previous post Mahkamah Agung AS tolak permohonan Republikan sekat kemenangan Biden
Next post Melaka tak iktiraf UEC
Ubah saiz-+=