Pemilihan UMNO: Azlan Man, Mohamad Ali gagal pertahan jawatan Ketua UMNO Bahagian

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kangar, yang disandangnya sejak 2014 pada saingan Pemilihan UMNO yang berakhir, semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis itu, tewas kepada bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Fathul Bari yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kangar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lepas berjaya memperoleh 368 undi, untuk mengatasi Azlan yang hanya memperoleh 179 undi.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian serta Ahli MT bagi penggal 2023-2026 yang berakhir semalam, melibatkan 189 daripada keseluruhan 191 bahagian di seluruh negara. 

Ketika ini keputusan penuh masih belum diumumkan.

Sementara itu di Melaka, Persidangan Perwakilan Bahagian Tangga Batu turut menyaksikan kejutan apabila penyandang Ketua UMNO Bahagian yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, tewas tipis dengan empat undi kepada Datuk Rais Yasin.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, melakar kemenangan apabila memperoleh 282 undi berbanding Mohamad Ali yang mendapat 278 undi.

1C04C66A-D15A-4908-A46E-77C6627728DD
DR Muhamad Akmal. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal Saleh yang pada Sabtu lepas menang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, diumumkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Jasin yang baharu.

Berdepan saingan empat penjuru, ADUN Merlimau itu juga melakar sejarah apabila menjadi pemimpin paling muda pada usia 35 tahun memegang jawatan tersebut, selepas menewaskan penyandangnya Datuk Hasan Rahman dengan meraih 340 undi berbanding 194 undi.

Dua lagi calon yang tewas adalah ADUN Serkam yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan (151 undi) dan bekas Bendahari Bahagian Datuk Mohd Yusof Osman (21 undi).

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2428
Kongsi :
Previous post Program Agro Madani FAMA Melaka perlu jadi contoh negeri lain
Next post Jangan muat naik kandungan berbaur kebencian babit elemen 3R – MCMC
Ubah saiz-+=