Pemuda lumpuh cekal bantu ibu

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER LIMAU 3 Mei. – Keadaan fizikal seorang pemuda yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah akibat kemalangan jalan raya 11 tahun lalu bukan penghalang dia terus berdikari serta berbakti kepada ibunya.

Mohd Hafiz Hamzahani, 33, berkata, kecacatan kekal dialaminya akibat kemalangan itu dan kini terpaksa bergantung dengan kerusi roda tidak seharusnya membuatkan dia hanya berserah kepada takdir.

Malah dia mampu membawa ibunya, Maznah Abdullah, 65, untuk berulang-alik ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah, di sini dengan memandu sendiri kereta.

“Alhamdulillah, walaupun lumpuh dari paras pinggang ke bawah, saya mampu memandu kereta untuk membawa ibu ke klinik dan saya tidak mahu sekadar menyerah nasib kepada keadaan.

“Dengan menggunakan alat kawalan pedal minyak dan brek pada tangan yang diubah suai, saya masih boleh memandu, terutama untuk membawa ibu ke klinik,” katanya.

Dia ditemui pada program penyampaian Bakul Makanan Permai oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), di sini, kelmarin.

Hadir sama Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi, 24 Disember 2012, Mohd Hafiz yang menunggang motosikal, terbabas selepas mengelak kereta membrek kecemasan di Jalan Rembia, Alor Gajah.

Dia dirawat beberapa bulan di Hospital Melaka sebelum dibenarkan pulang dalam keadaan fizikal lumpuh dari paras pinggang ke bawah.

MOHD Fadzil bersyukur menerima Bakul Makanan Permai di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Masjid Tanah. – Foto DIN AHMAD

Sementara itu, Mohd Fadzil Aziz, 49, yang menderita penyakit saraf mengucapkan kesyukuran kerana dipilih menerima sumbangan itu.

“Saya dan isteri serta empat anak berusia antara 12 hingga 21 tahun menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan walaupun tidak sebanyak mana, cukup untuk kami meneruskan kehidupan,” katanya.

Berikutan ketidakmampuannya melakukan kerja berat, dia mengambil inisiatif menanam cili padi dalam 500 beg poly di kawasan berhampiran kediamannya di Kampung Ramuan Cina Kecil, di sini.

Katanya, hasil daripada jualan cili padi sedikit sebanyak membantunya membiayai perbelanjaan harian keluarga, selain persekolahan anaknya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

836
Kongsi :
Previous post Ibu tunggal cekal sambut Aidilfitri tanpa suami
Next post Melaka dijangka kembali ke status PKPB
Ubah saiz-+=