Pemuda maut selepas hantar pesanan makanan

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

PAYA RUMPUT 14 Julai – Seorang lelaki maut akibat digilis selepas motosikal ditunggang bergesel dengan sebuah lori sampah dalam kejadian di Jalan Gaung Piring di sini, petang tadi.

Dalam kemalangan pada jam 1.15 petang itu, Muhammad Nor Adam Asraff, 37 maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Taman Cheng Perdana menghala ke restoren makan segera di Cheng, tempatnya bertugas selepas selesai menghantar pesanan.

Katanya, manakala pemandu lori berkenaan berusia 27 tahun  baharu selesai mengutip sisa pepejal dan dalam perjalanan dari arah Kampung Solok Gaung Piring menghala ke Sekolah Tun Haji Malik, Cheng.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum bergesel dengan lori tersebut.

“Akibat geseran itu, mangsa terjatuh sebelum terperosok di bawah lori tersebut.

“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat dan waris mangsa diminta hadir ke hospital terbabit untuk pengecaman mayat.

Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati jalan berkenaan adalah jalan kampung satu lorong dua hala dan tidak mempunyai garisan pembahagi jalan.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

10183
Kongsi :
Previous post 200,000 penerima STR terima RM600 SARa mulai Isnin – PM Anwar
Next post TMM2024: Melancong ke Melaka berpeluang menang kereta
Ubah saiz-+=