Penampakan sang bedal punca Pengkalan Balak lengang?

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

MASJID TANAH 28 November – Pantai Pengkalan Balak, di sini, dilihat lengang walaupun kerajaan mengumumkan hari ini sebagai hari kelepasan am sempena pelantikan Perdana Menteri ke-10.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati keadaan di pantai peranginan itu tidak seperti kebiasaan apabila hanya ada sekelompok kecil sahaja pengunjung bermandi-manda di situ.

Ia diakui seorang peniaga kecil, Nurul Izzati Syazwani Ibrahim, 31 yang mendakwa situasi sama berlaku pada hujung minggu lalu mengakibatkan perniagaannya sedikit terjejas.

Menurutnya, insiden penemuan buaya kira-kira dua meter yang ditularkan baru-baru ini berkemungkinan mengakibatkan kurangnya pengunjung mengambil peluang datang bermandi-manda di kawasan itu.

“Sejak Sabtu dan Ahad lalu pun lagi kurang orang yang datang. Yang ramai hanyalah konvoi-konvoi motosikal dan mereka hanya lalu-lalang saja di kawasan ini.

“Boleh dikatakan sudah dua minggu orang jarang datang berkelah mengakibatkan perniagaan susut hampir 80 peratus dalam sehari.

“Sebelum ini kalau berniaga boleh cecah ratusan ringgit hasil jualan sehari tapi sejak dua minggu lalu kita hanya menerima sekitar RM80 sahaja,” katanya.

IMG-20221128-WA0008
NURUL IZZATI SYAZWANI

Baru-baru ini, tular sebuah video menunjukkan kelibat seekor buaya naik di permukaan laut berhampiran pantai berkenaan.

Bagaimanapun, penduduk kampung dan nelayan di kawasan itu menyifatkan ia merupakan situasi biasa berlaku pada setiap tahun yang mana spesies reptilia itu tidak pernah mengganggu atau mengancam orang ramai.

Sementara itu, seorang pengunjung yang ditemui, Ahmad Faiz Safwan, 30 turut hairan dengan situasi lengang di pantai berkenaan walaupun cuti masih berbaki lagi sehari.

Dia yang datang bersama isteri, Norhafiqah Maasah, 30 dan anak-anak dari Rembau, Negeri Sembilan bagaimanapun tetap mengambil peluang memanfaatkan hari terakhir tersebut untuk beriadah di pantai peranginan itu.

IMG-20221128-WA0009
AHMAD Faiz beriadah bersama keluarganya.

“Lokasi ini memang pilihan keluarga tapi hari ini kita lihat pantai ini memang lengang berbanding sebelum ini.

“Ini berkemungkinan yang diberikan cuti hanya kakitangan kerajaan sahaja sebab ramai rakan-rakan saya yang bekerja di sektor swasta perlu bekerja hari ini dan diberikan cuti ganti pada hari lain.

“Mungkin itu sebab kawasan tumpuan ini kurang menerima kunjungan berbanding sebelum ini sampai sesak dipenuhi kenderaan yang masuk,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5993
Kongsi :
Previous post Pendapatan bawah RM6,000 layak mohon pangsapuri mampu milik Kuala Sungai Baru – LPM
Next post Penjawat awam diseru bawa perubahan kembalikan Malaysia di tahap gemilang
Ubah saiz-+=