Penangan ‘viral’, peniaga nasi lemak syukur rezeki bertambah

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

KOTA LAKSAMANA 28 Jun – “Sebelum kami sampai, dilihat pelanggan sudah mula beratur panjang. Sudah pastilah kami terkejut, sampai tidak menang tangan dibuatnya,” itu kata peniaga nasi lemak Ramlan Abd Rahman, 44.

Menurut Ramlan, keadaan di gerai jualannya di tapak Pantai Eye On Malaysia, berubah selepas ada pelanggannya memuat naik video di media sosial sebelum ia tular.

“Saya diberitahu video itu tular semasa dua minggu selepas Ramadan lalu dan susulan itu pelanggan kami bertambah dan beratur panjang.

“Ikutkan sudah lama kami berniaga di sini, iaitu kira-kira sembilan tahun tetapi lokasi berubah-ubah. Namun kini kami akan kekal di tapak ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, disebabkan pelanggan semakin bertambah dia dan isteri Rosyati Saleh, 46, terpaksa menambah kuantiti jualan mereka bagi memastikan pelanggan yang beratur dapat membeli nasi lemak itu.

“Jika dulu kami hanya memasak dalam 15 kilogram beras tetapi selepas viral kuantiti itu terpaksa ditambah hingga ke 25 kilogram setiap malam selain pilihan lauk juga kini lebih daripada 10 jenis termasuklah sambal sotong, rendang ayam dan paru.

“Memang tidak sangka jualan kami mendapat permintaan seperti ini. Menyedari ada diantara pelanggan yang beratur lama dan tidak dapat membeli nasi lemak, kini saya serta isteri terpaksa menghadkan setiap pelanggan hanya boleh membeli hanya 10 bungkus sahaja,” katanya.

WhatsApp Image 2023-06-11 at 12.17.27 (1)
RAMLAN

Menurut bapa kepada lima anak itu, pelbagai reaksi diberikan pelanggan yang mengenai nasi lemaknya sehingga mereka sanggup beratur lama.

“Saya pun tidak pasti apa yang membuatkan mereka suka dengan nasi lemak jualan kami ada yang kata kerana sambalnya malah ada juga kerana harganya yang murah.

“Mungkin disebabkan harga RM1.30 bagi nasi lemak biasa atau RM4 bagi lauk ayam membuatkan pelanggan berminat untuk membeli.

“Walau apapun saya bersyukur kerana ia rezeki buat kami sekeluarga selain saya berpegang kepada pesan emak, kalau mahu berniaga masaklah seperti mahu makan sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2195
Kongsi :
Previous post Sasar jualan murah sebulan sekali di Gadek
Next post Enjin rosak, nelayan terkandas lebih 10 jam
Ubah saiz-+=