(DIKEMASKINI) Pencapaian STAM2023 Melaka meningkat

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BUKIT BARU 26 Mac – Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 bagi Negeri Melaka meningkat apabila merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 2.99 berbanding 3.08 tahun lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, bilangan calon menerima sijil mumtaz juga menunjukkan peningkatan iaitu seramai tiga orang berbanding dua yang direkodkan tahun sebelumnya.

Tambah Rahmad, seramai 50 calon lulus dan layak mendapat sijil, sekali gus menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan meningkat 6.17 peratus berbanding tahun lalu.

“Gred Purata Sekolah (GPS) membabitkan ketiga-tiga buah sekolah yang mengambil peperiksaan di negeri ini turut menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.

“Sekolah Menengah Agama (SMA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al-Asyraf berada di kedudukan pertama dengan GPS 2.73 iaitu meningkat 0.08, diikuti SMA JAIM Al-Ahmadi dengan GPS 2.86 (meningkat 0.06) dan SMA JAIM Assyakirin dengan peningkatan tertinggi sebanyak 0.14 apabila merekodkan GPS 3.50.

“Selain itu, gred purata tujuh mata pelajaran turut meningkat iaitu membabitkan mata pelajaran Fiqh, Tauhid dan Mantiq, Tafsir dan Ulumuhu, Hadith dan Mustolah, Adab dan Nusus, Arudh dan Qafiyah serta Balaghah,” katanya pada Majlis Apresiasi Peperiksaan STAM2023 Negeri Melaka di Dewan Bestari Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mohd Ghazali Ahmad dan Pengarah JAIM Datuk Badaruddin Mohd Kassim.

Menurut Rahmad, bagi peperiksaan STAM2023, seramai 100 calon telah menduduki peperiksaan pada 2 hingga 11 Januari lalu yang mana ia membabitkan 73 calon Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan selebihnya merupakan calon persendirian.

Tiga calon yang memperoleh keputusan Mumtaz pada STAM2023 ialah Fatin Nazimah Fakrughazi (SMA JAIM Al-Ahmadi); Nur Athirah Rasyiqah Amel Rasid (SMA JAIM Al-Asyraf) dan Nur Sumiyyah Sazalie (SMA JAIM Al-Asyraf).

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada pelajar-pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan. Smoga kejayaan ini akan menjadi pendorong kepada pelajar lain mencipta kecemerlangan pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

544
Kongsi :
Previous post Melaka bakal wujudkan ladang bawang diusahakan asnaf
Next post Kelab Rekreasi dan Kebajikan CMI agih 500 pek bubur lambuk
Ubah saiz-+=