Melaka bakal wujudkan ladang bawang diusahakan asnaf

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

MERLIMAU 26 Mac – Kerajaan Melaka berhasrat mewujudkan ladang bawang yang diusahakan asnaf bagi membantu golongan tersebut keluar dari kepompong kemiskinan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya menyasarkan 50 peserta terdiri dalam kalangan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk terlibat dalam program berkenaan.

Usaha itu juga, jelas beliau, adalah bertujuan meningkatkan tahap pengeluaran bawang negara yang masih terlalu rendah.

“Jadi kita akan mengumpulkan asnaf-asnaf ini dengan syarat mereka mestilah di bawah usia 50 tahun, masih sihat dan dapat mengikuti latihan pertanian dari awal sehinggalah dapat menuai hasil bawang sendiri.

“Mereka tidak perlu mengeluarkan sebarang perbelanjaan kerana modal mereka hanyalah kudrat dan segalanya akan diuruskan Pertubuhan Peladang, selain ia juga akan dibantu agensi dan jabatan lain termasuklah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutan (FAMA) akan diwajibkan membeli semua hasil tanaman itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Jasin kepada 308 penerima asnaf di Dewan Lipat Kajang, di sini, hari ini.

Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, Kerajaan Negeri kini sedang mengenal pasti beberapa tanah milik kerajaan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Menurut beliau lagi, permohonan projek tersebut telah diangkat ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang menyambut baik usaha berkenaan.

“Setakat ini, kita sasar 50 asnaf untuk bermula awal tahun depan dan saya juga sudah berbincang dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk laksanakan ladang ini di Melaka.

“Melalui projek ini, misi utama kita ialah untuk mengurangkan asnaf di Negeri Melaka. Kalau dapat kita lihat, pada majlis ini, seramai 308 asnaf menerima sumbangan dan kita berharap selepas ini jumlah itu akan berkurangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

176
Kongsi :
Previous post Pembayar zakat fitrah RM14, RM21 meningkat
Next post (DIKEMASKINI) Pencapaian STAM2023 Melaka meningkat
Ubah saiz-+=