Pembayar zakat fitrah RM14, RM21 meningkat

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

PENGKALAN BATU 26 Mac – Pembayar zakat fitrah mengikut kadar RM14 dan RM21 di Melaka menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu apabila merekodkan kenaikkan kira-kira 15 peratus, setakat 15 Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu berkata, meskipun jumlah pembayar bagi kadar bayaran RM7 masih ramai tetapi pihaknya mengesan berlaku peningkatan bagi dua kadar bayaran tertinggi itu.

“Anggaran pertambahan setakat kini boleh dikatakan antara 10 hingga 15 peratus kerana kita bergantung kepada kupon bayaran yang dikeluarkan. Kadar bayaran RM7 tetap banyak tetapi RM14 dan RM21 ini ada permintaan pertambahan kupon berbanding tahun lepas.

“Boleh katakan trend bayaran bagi dua kadar ini meningkat apabila kita terpaksa lakukan pertambahan kupon bayaran untuk kadar RM21, difahamkan tahun lepas lambakan kupon RM21 itu banyak.

“Namun begitu jumlah sebenar kenaikan itu kita tidak dapat dipastikan dengan terperinci kerana kutipan masih berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Tautan Kasih Ramadan Anjuran Zakat Melaka 2024, di sebuah gedung tekstil di Bukit Piatu, di sini, hari ini.

Program itu dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM)
Datuk Badaruddin Mohd Kassim.

Menurut Mohamad Azmi, berdasarkan status bayaran zakat fitrah yang diterima, pihaknya yakin sasaran kutipan RM5.9 juta yang ditetapkan dapat dicapai.

“Menerusi senario pembayaran zakat fitrah yang diterima kini, kita harapkan sasaran kita untuk mengutip lebih dapat dicapai.

“Selain penambahan penduduk, peningkatan sasaran juga disebabkan juga oleh peningkatan kadar bayaran zakat antara RM14 dan RM21,” katanya.

Jelasnya, Zakat Melaka juga turut mengingatkan agar pembayar zakat fitrah untuk tidak menunaikan kewajipada masing-masing di saat akhir atau pada akhir Ramadan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak dijangka.

“Memang ada juga trend yang menunggu saat akhir baru hendak bayar, jika boleh kita minta buatlah bayaran lebih awal kerana khuatir akan mengganggu pegawai syarak atau ada yang terlepas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

251
Kongsi :
Previous post Kongsi nikmat Ramadan bersama pelajar asnaf
Next post Melaka bakal wujudkan ladang bawang diusahakan asnaf
Ubah saiz-+=