Pencarian jaguh menembak tentera darat

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SUNGAI UDANG 22 Julai – Seramai 143 pegawai dan 572 anggota lain-lain pangkat daripada 11 formasi Tentera Darat Malaysia (TDM) menyertai Pertandingan Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKM TD) Tahun 2023 yang bermula semalam hingga 30 Julai ini.

Pertandingan itu merupakan acara dwi tahunan yang diadakan di Lapang Sasar Kem Terendak, Melaka dan Lapang Sasar Kem Syed Sirajudin, Gemas, Negeri Sembilan.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam satu kenyataan memaklumkan program itu bermatlamat untuk menilai kemampuan dan tahap kemahiran anggota TDM dalam aspek pengendalian senjata secara individu dan berkumpulan.

Selain itu, acara tersebut juga platform terbaik untuk menilai kemahiran dan kecekapan warga TDM hasil dari latihan yang dijalankan sama ada di peringkat pasukan mahupun formasi.

“Secara dasarnya, acara ini merupakan platform terbaik dalam menentukan ‘core competency’ anggota TDM berada dalam tahap yang terbaik.

“Selain itu, acara ini juga merupakan medan terbaik untuk TDM melahirkan jaguh-jaguh menembak yang bakal membawa cabaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti mewakili TDM dalam pertandingan ASEAN Armies Rifle Meet (AARM),” kata kenyataan itu.

WhatsApp Image 2023-07-21 at 17.20.05

Upacara pembukaan pertandingan itu telah diadakan di Lapang Sasar 400m, Kem Terendak, di sini, dan disempurnakan Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Hadir sama, Panglima 10 Briged (Para) Mejar Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal; Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Rashidin Hashimi Ab Rashid; Panglima 4 Divisyen Mejar Jeneral Anuar Abdul Wahab dan Pegawai-pegawai Kanan TDM.

Untuk rekod, UKM TD 2023 melibatkan pelbagai acara menembak seperti Raifal Lelaki dan Wanita; Pistol Lelaki dan Wanita; Lorong Hutan; MGKA dan MGR.

Selain itu, acara lain ialah Serangan Seksyen; Jatuh Piring serta Acara Pegawai Kanan dan Acara Pegawai Muda.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1366
Kongsi :
Previous post ‘Adik dah tak ada rumah..’
Next post Kurang satu peratus kediaman tidak terjual
Ubah saiz-+=