PENDEKATAN KREATIF, INOVATIF SANTUNI BELIA

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 17 Oktober – Pemimpin belia memikul cabaran dan tugas besar dalam usaha untuk menarik lebih ramai orang muda yang ketika ini masih ramai yang berada di luar lingkungan persatuan-persatuan yang ada ketika ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berikutan itu pemimpin belia memikul tanggungjawab untuk menarik golongan berkenaan agar dapat bersama-sama menyumbang ke arah pembinaan sebuah negara bangsa.

Ab rauf berkata, era dan revolusi bidang ICT menuntut kepada pendekatan yang penuh kreatif dan inovatif dalam berkomunikasi dengan golongan belia.

“Media alternatif mesti dimanfaatkan sepenuhnya dalam menawan imaginasi golongan muda. Dalam konteks ini juga, saya menyeru kepada semua agensi kerajaan yang berurusan dengan golongan belia untuk mengkaji semula pendekatan mereka, kita sewajarnya cuba memahami apakah cita rasa golongan muda.

“Selain itu kita perlu lebih akomodatif dan prihatin kepada citra mereka. Turunlah padang dan dengarlah suara-suara belia akar umbi dan tidak sekadar menunggu mereka untuk datang berjumpa dengan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2024, berlangsung di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri Mohamad Mazlan Anis serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, pemimpin belia diminta terlebih dahulu berunding dengan kumpulan sasar dalam merangka sebarang program agar aktiviti dijalankan nanti lebih menepati warna dan sentuhan jiwa golongan muda.

“Sememangnya tidak ada perkhidmatan yang lebih tinggi nilainya mahupun lebih mulia daripada mencurah jasa kepada negara. Jadikanlah waktu muda ini sebagai landasan bagi mengumpul bekal dan pengalaman untuk meniti hari-hari mendatang,” katanya.

Sementara itu dalam memastikan kepentingan para belia di Negeri Melaka terus releven, Ketua Menteri mahu penekanan terhadap tiga perkara diambil perhatian serius.

“Perkara pertama perlu ditekankan golongan itu adalah menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran sementara itu kedua adalah memupuk nilai patriotisme untuk memperkukuh kesetiaan kepada negara, manakala yang ketiga memperkasa gerak kerja strategik bersama semua golongan di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

58
Kongsi :
Previous post FAHAMI ASPIRASI, DENYUT NADI BELIA MELAKA
Next post KERAJAAN NEGERI PERMUDAHKAN URUSAN MANGSA KEBAKARAN
Ubah saiz-+=