PENDIKA harap suntikan vaksin dipercepatkan

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 10 Jun – Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) menyambut baik keputusan serta keprihatinan kerajaan yang mendengar rintihan petugas media mengenai keperluan suntikan vaksin COVID-19.

Pengerusi PENDIKA Amir Mamat berkata, dengan mendapat suntikan vaksin COVID-19 itu pengamal media di negeri ini tidak perlu berasa gusar dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.

Menurutnya, penerimaan vaksin itu sekali gus memberi keyakinan kepada media untuk terus menyalurkan berita mengenai kesedaran kepada masyarakat pentingnya mendapatkan vaksin semasa penularan pandemik yang boleh mengancam nyawa itu.

Pengerusi PENDIKA Amir Mamat

 

“Namun, di sebalik pengumuman kerajaan yang sangat menggembirakan pengamal media itu, khususnya di Negeri Melaka, PENDIKA sangat berharap supaya pemberian vaksin itu dapat disegerakan.

“Semua pengamal media di Melaka difahamkan masih belum menerima sebarang maklumat terkini mengenai sesi temu janji untuk suntikan vaksin.

“Ini secara tidak langsung menimbulkan kekuatiran kami mengenai tahap kesihatan dan keselamatan kami ketika menjalankan tugas di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya PENDIKA berharap agar Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin serta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), dapat mempercepatkan proses temu janji kepada pengamal media Melaka bagi tujuan suntikan vaksin.

“Kami percaya, menerusi suntikan ini, mampu membina imuniti kelompok dalam kalangan petugas media itu sendiri serta keluarga mereka,” katanya lagi.

Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

964
Kongsi :
Previous post Belangsungkawa: Bekas ratu pecut Rajemah Sheikh Ahmad meninggal dunia
Next post JAIS batal peperiksaan PSRA OGOS ini
Ubah saiz-+=