Penduduk resah diganggu anjing liar
PAYA RUMPUT 15 Sept. – Penduduk di Jalan Kemboja, Taman Paya Rumput Perdana, di sini, resah dengan kehadiran puluhan anjing liar yang sering menimbulkan kacau ganggu di kawasan perumahan berkenaan.
Menurut seorang penduduk, Mohd Faizal Mohd Romli, 34, masalah berkenaan bermula sejak beberapa bulan lalu dan ia semakin membimbangkan apabila anjing-anjing berkenaan mula menceroboh kawasan rumah.
Katanya, situasi itu menimbulkan rasa khuatir sekiranya berlaku kejadian tidak diingini ke atas anak-anaknya yang sering bermain di luar.
“Biasa kita anggap rumah sebagai kawasan paling selamat, tetapi bila jadi macam ini memang merisaukanlah sebab anak-anak kita nak bermain di kawasan laman rumah.
“Kita risau berlaku sesuatu yang tak diingini, jika perkara ini tidak dibendung mulai sekarang,” katanya.
Nada sama turut disuarakan seorang suri rumah, Nor Izwani Mohd Nor, 36, yang sering diganggu anjing-anjing liar itu sewaktu hendak menghantar anak ke sekolah.
“Bila kita lalu satu jalan untuk keluar dari taman ini, anjing-anjing tersebut sudah berkumpul di tengah jalan. Jadi, ada antara kita yang naik motosikal kita rasa takutlah, kalau-kalau anjing itu akan menyerang atau hanya menunggu masa untuk menyerang.
“Kami sudah buntu tak tahu nak buat apa lagi. Harap pihak bertanggungjawab selesaikan isu ini dengan segera. Kami risau, kalau tidak kami yang kena, mungkin anak-anak kami jadi mangsa nanti,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Ridzuan Mohd Jamil, 43, mendakwa masalah itu bermula apabila terdapat seorang wanita sering memberi makan kepada anjing liar itu di kawasan tepi jalan taman berkenaan.
Menurutnya, dia pernah menegur wanita berkenaan, namun teguran itu langsung tidak diendahkan, bahkan wanita itu dilihat lebih kerap memberikan makanan kepada anjing liar itu.
“Itu punca anjing makin lama makin banyak. Masalah utamanya ialah anjing-anjing ini mengganggu kawasan yang majoritinya Melayu.
“Anjing-anjing ini bukan sahaja menakutkan penduduk, tetapi juga sering buat bising menyalak tengah malam, menyelongkar tong sampah hingga sampah jadi berselerak dan juga meninggalkan najis merata-rata,” tegasnya.
Seorang pesara kerajaan Mohd Zamri Abdullah, 64, pula meminta pihak berkuasa tempatan segera mengambil tindakan untuk membendung masalah anjing liar itu sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku.
“Kalau perlu tembak, tembaklah. Buat macam 20, 30 tahun dahulu. Anjing-anjing liar ini mendatangkan bahaya kepada semua. Jadi, sebelum dia mencederakan kanak-kanak, tindakan perlu segera diambil,” katanya.