Penganggur didenda RM4,500 kerana ugut dan acu pisau pada kakak kandung

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR 10 Mac. – Gara-gara melakukan ugutan jenayah terhadap kakak kandungnya dengan mengacukan dua bilah pisau kerana enggan memberikan duit, seorang penganggur didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Suhairiy Md Ashaary, 24, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut terhadap Noorashikin Md Ashaary, 36, di sebuah rumah di Taman Rahmat Jaya Sri Kundang, Rawang di sini, pada 5.50 petang, 6 Mac lalu.

Pendakwaan mengikut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan, jika dia gagal membayar denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira tertuduh bertindak agresif kerana dia berada di bawah pengaruh dadah.

“Dalam kes ini, tertuduh telah menggunakan dua bilah pisau masing-masing berukuran 34 sentimeter dan 27 sentimeter dan mangsa adalah kakak kandung kepada tertuduh,” katanya.

Muhammad Suhairiy yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia tidak bekerja dan memohon maaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian mangsa (kakak kandung tertuduh) berada di rumah dan tertuduh telah memarahi dan memaki kakaknya kerana tidak memberikan wang RM100 yang diminta tertuduh.

Kakaknya itu hanya memberikan wang RM50 apabila mengetahui adiknya seorang penagih dadah menyebabkan lelaki itu tidak berpuas hati.

Adiknya kemudian bertindak menghalau kakaknya keluar dari rumah dengan mengacukan dua bilah pisau yang dipegang di tangan kanannya ke arah wanita itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

889
Kongsi :
Previous post 186 pengamal perubatan swasta diberi kuasa kendali kes positif COVID-19
Next post Keputusan solat Tarawih di masjid diketahui awal April
Ubah saiz-+=