Pengangkutan awam hanya perlu kemuka surat MOT sebagai bukti kebenaran beroperasi

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

PUTRAJAYA 13 Jun – Semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi dan e-hailing hanya perlu mengemukakan surat Kementerian Pengangkutan (MOT) sebagai bukti kebenaran beroperasi dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang dilanjutkan hingga 28 Jun ini.

MOT dalam kenyataan hari ini berkata pemandu teksi boleh mendapatkan surat kebenaran beroperasi daripada Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) di https://application.mot.gov.my. manakala pemandu e-hailing pula boleh mendapatkan salinan surat kebenaran MOT yang telah diberikan kepada syarikat operasi e-hailing masing-masing.

Sebelum ini, MOT dilaporkan berkata Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat diperlukan sebagai bukti kebenaran beroperasi di sekatan jalan raya.

Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi dan e-hailing, dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang dilanjutkan hingga 28 Jun ini dengan mengikuti prosedur operasi standard ketat.

MOT berkata setiap perkhidmatan teksi dan e-hailing dihadkan kepada kapasiti dua orang sahaja iaitu seorang pemandu dan seorang penumpang.

Bagaimanapun bagi tujuan perubatan seperti janji temu hospital yang disertakan surat pengesahan doktor atau vaksinasi yang disahkan melalui aplikasi MySejahtera, atau bagi tujuan kecemasan, tiga orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki sebuah teksi atau kenderaan e-hailing pada satu-satu masa

Sekatan pergerakan penuh di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dijadualkan tamat pada 14 Jun ini bersambung selama dua minggu lagi, berkuat kuasa 15 hingga 28 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira jumlah kes baharu harian yang masih tinggi iaitu melebihi 5,000 kes sehari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

442
Kongsi :
Previous post Polis siasat kutipan derma ikat jamin penghantar makanan pukul pelanggan
Next post 1,331,262 individu lengkapkan dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam
Ubah saiz-+=