SMN_6665

Penganjur Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikompaun RM1,000 – Khairy

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Penganjur program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19.

Kompaun itu dikeluarkan kepada Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri iaitu penganjur program itu yang berlangsung bermula Khamis hingga Ahad ini, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan hari ini berkata kompaun tersebut dikeluarkan kepada pihak penganjur bagi kesalahan gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342).

Susulan itu, katanya kaunter diskaun pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disediakan di KLCC ditutup serta-merta bermula petang ini.

“Maklumat lanjut mengenai kaedah pembayaran saman dan tawaran diskaun akan dimaklumkan oleh pihak PDRM. KKM akan terus memantau perjalanan program ini dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun kepada pihak penganjur sekiranya gagal memastikan pematuhan SOP,” katanya.

Susulan pengungkaian Ordinan-Ordinan Darurat di Dewan Negara pada 8 Dis lepas, nilai kompaun maksimum yang boleh dikenakan kepada individu dan pertubuhan ataupun organisasi adalah RM1,000.

Menurut Khairy penganjuran majlis yang sepatutnya mempamerkan pencapaian 100 hari kerajaan serta semua kementerian dan agensi terlibat, telah dicemari dengan kegagalan penganjur memastikan kepatuhan kepada SOP dan kegagalan pengunjung untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya penganjuran majlis rasmi kerajaan seumpama itu sepatutnya memberikan contoh terbaik dan menjadi teladan serta penanda aras kepada agensi-agensi lain termasuk agensi bukan kerajaan dalam aspek pelaksanaan program, pematuhan SOP dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

“Kejadian yang berlaku amat dikesali dan mengecewakan apabila pihak penganjur sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk memastikan program tersebut akan dianjurkan dengan pematuhan SOP yang ketat di samping aktiviti pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan yang berterusan.

“Situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir memberi risiko berlakunya penularan jangkitan COVID-19,” katanya.

Sehubungan itu, katanya sebagai sebuah kerajaan, mereka seharusnya menunjukkan teladan serta amalan terbaik kepada seluruh masyarakat di samping berpegang kepada standard sama yang dikenakan ke atas rakyat.  – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

29
WhatsApp Image 2021-12-10 at 5.15.07 PM Previous post Polis siasat kes buli didakwa berlaku di Kuala Kangsar
chenghoe Next post ‘Tempang’ akibat COVID-19, Harimau Malaya belum patah semangat