‘Tempang’ akibat COVID-19, Harimau Malaya belum patah semangat

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Musibah demi musibah menimpa skuad kebangsaan di Singapura sedikitpun tidak melunturkan semangat pemain untuk terus berjuang memburu kejayaan dalam saingan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020.

Ketua Jurulatih pasukan negara Tan Cheng Hoe berkata para pemain menunjukkan sikap positif dalam sesi latihan walaupun menyedari kes positif COVID-19 sedang ‘menghantui’ kem negara ketika ini, dan mungkin memberi tamparan kepada sesetengah pemain.

“Kemungkinan di pihak sesetengah pemain mereka risau tetapi kita lihat daripada cara mereka berlatih serta suasana di dalam dan luar padang cukup baik, cukup positif.

“Kita harap suasana tersebut dapat mengatasi segala cabaran di depan mata kita, yang penting setiap kali kita doa, minta supaya pemain berada dalam keadaan terbaik demi pasukan,” katanya pada sidang media skuad kebangsaan secara maya di Singapura, hari ini.

Menurut Cheng Hoe, skuad Harimau Malaya berada dalam keadaan terbaik berdasarkan dua perlawanan dalam Kumpulan B menyaksikan Malaysia meraih mata penuh masing-masing berdepan Kemboja dan Laos.

Setelah hilang dua pemain yang terpaksa diketepikan iaitu penjaga gol Mohd Khairulazhan Mohd Khalid dan Muhammad Faisal Abdul Halim (pemain sayap), darjah kesukaran Malaysia meningkat apabila hilang dua lagi pemain selepas Muhammad Akhyar Abdul Rashid (pemain sayap) dan pemain pertahanan Quentin Cheng pula disahkan positif COVID-19.

Dengan pemain pertahanan kacukan Dion Cools dijangka menyertai pasukan selepas aksi ketiga saingan kumpulan, Cheng Hoe kini mempunyai baki 19 pemain untuk membuat penggiliran dan merencanakan strategi bagi menghadapi cabaran juara bertahan Vietnam, Ahad ini.

Keadaan tersebut menyaksikan pengendali berusia 53 tahun itu menaruh harapan tinggi kepada barisan pemain untuk sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan termasuk beraksi di posisi berbeza ketika bertemu Vietnam di Stadium Bishan.

“Kita yakin mana-mana pemain pun ada motivasi terbaik untuk mengisi kekosongan ditinggalkan pemain yang diuji positif COVID-19. Setiap pemain kena bersedia dengan apa-apa saja situasi dan untuk harungi cabaran yang memang cukup mencabar kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata kesihatan keempat-empat pemain negara yang dijangkiti COVID-19 berada pada tahap terbaik dan sering berkomunikasi dengan pasukan secara maya.

“Rakan sepasukan kerap bagi kata-kata semangat dan motivasi kepada mereka menerusi panggilan video dan berharap dalam masa terdekat mereka dapat pulih dan kembali bersama skuad,” kata Cheng Hoe. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

678
Kongsi :
Previous post Penganjur Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikompaun RM1,000 – Khairy
Next post Sulaiman bangga Melaka Bebas Berniaga beri limpahan buat rakyat
Ubah saiz-+=