Pengarah KDNKA dahului penerima darjah, pingat polis daripada Agong

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali.

Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis (DKPP) 2022 menyaksikan Hazani mendahului senarai 250 penerima pingat pada istiadat yang berlangsung di Balairong Seri Istana Negara.

Pada istiadat itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan dua darjah PGPP iaitu kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pada istiadat itu, Seri Paduka berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Pasukan Polis kepada 46 penerima, Pahlawan Pasukan Polis (62 penerima), Kesatria Pasukan Polis (lima penerima), Bentara Pasukan Polis (133 penerima) dan seorang penerima Pingat Keberanian Polis.

Penganugerahan Pingat DKPP diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakan atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2793
Kongsi :
Previous post 17 syarikat korporat, koperasi tunai zakat perniagaan
Next post Bayi empat bulan koma dipercayai didera
Ubah saiz-+=