Pengawal keselamatan jadi bidan terjun sambut kelahiran bayi di sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

TABOH NANING 2 Dis – “Alhamdulillah, Allah izinkan saya menyambut kelahiran bayi perempuan dengan sempurna dan ibu bayi itu juga selamat.

“Mungkin ia berkat doa Nabi Yunus dalam perut ikan paus dan beberapa doa lain yang saya baca yang membolehkan saya menyambut kelahiran bayi itu dengan selamat,” kata pengawal keselamatan di sebuah sekolah kebangsaan, di sini, Jamiah Isnin.

Tanpa sebarang pengalaman menyambut kelahiran bayi sebelum ini, Jamiah, 55, menguatkan semangat untuk menyambut kelahiran bayi seberat tiga kilogram (kg) selepas ibu bayi berkenaan yang berusia 37 tahun tidak sempat dibawa ke hospital.

Menyorot kembali pengalaman amat mendebarkan itu, ibu kepada lima anak berusia antara 18 hingga 34 tahun itu berkata, dalam kejadian jam 8 pagi Isnin lalu itu, dia yang berada di pondok pengawal keselamatan diminta seorang guru supaya segera ke sebuah bilik di blok murid pra sekolah.

“Setibanya di bilik itu, saya lihat seorang pembantu pengurusan murid (PPM) pra sekolah sudah terbaring di atas meja sambil menahan kesakitan ingin melahirkan bayi kerana air ketuban sudah pecah.

“Saya memintanya membuka kaki sambil meneran bayi dan saya membaca doa Nabi Yunus dalam perut ikan paus dan alhamdulillah, tidak sampai 10 saat, tiba-tiba kepala bayi sudah keluar dan saya terus menyambutnya,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan hari ini.

FOTO bayi perempuan seberat tiga kilogram diazankan ustaz.

Jamiah berkata, dia turut dibantu seorang kerani yang hanya dikenali sebagai Zailan untuk menarik tali pusat bagi mengeluarkan uri.

Bagaimanapun, nasib menyebelahi mereka kerana ketika bergelut untuk menarik tali pusat itu, dua jururawat yang menaiki ambulans tiba, sekali gus membuatkan Jamiah dan Zailan menarik nafas lega.

“Dalam keadaan kelam kabut dan tubuh yang agak gementar itu baharulah saya teringat, arwah ibu saya, Allahyarhamah Saerah Sudin adalah bidan kampung dan mungkin saya sedikit sebanyak mewarisi ilmu menyambut bayi daripadanya,” katanya.

Jamiah berkata, arwah ibunya dikenali dalam kalangan anggota masyarakat Kampung Rantau Panjang, di sini sebagai bidan kampung yang membantu ramai wanita melahirkan bayi, termasuk bayi yang dalam keadaan songsang.

Katanya, selepas tugas memotong tali pusat selesai, Zailan memandikan bayi berkenaan daripada kesan darah dan air ketuban.

Bayi berkenaan kemudiannya diazankan oleh ustaz di sekolah berkenaan sebelum dibawa bersama-sama ibunya ke Hospital Alor Gajah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2609
Kongsi :
Previous post Harga racun serangga naik 199 peratus
Next post Daging segar hanya RM30 sekilogram
Ubah saiz-+=