Penghasilan benih padi menghasilkan pulangan lumayan

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

AYER LIMAU 28 Julai – Padi yang dhasilkan untuk diproses menjadi benih berkualiti tinggi membawa pulangan lumayan kepada usahawan tani, Abdul Aziz Abdullah, 45, di Kampung Sungai Siput, Lubok Cina di sini.

Usaha beliau berulang alik kira-kira 460 kilometer (km) dari Sekinchan, Selangor ke kampung berkenaan sejak lima tahun lalu membuahkan hasil lumayan pada tahun ketiga operasi.

Abdul Aziz Abdullah

Jika pada 2015 Abdul Aziz Abdullah, 45, terpaksa membelanjakan RM90,000 untuk membersihkan hutan yang memenuhi tanah terbiar seluas kira-kira 34.4 hektar milik anggota komuniti di kampung itu, sekarang beliau sudah mampu tersenyum lebar mengutip pulangan yang membanggakan.

Mengimbas kembali usahanya memajukan tanah berkenaan, beliau berkata, fakta mengenai tanah terbiar itu dimaklumkan rakannya yang pernah bekerja di bandar ini dan beliau membuat tinjuan awal sebelum berbincang dengan pemilik tanah.

“Seramai 42 pemilik tanah bersetuju menyewakan tanah ini kepada saya untuk diusahakan menjadi estet padi dan usaha yang saya mulakan pada 2015 memberikan peluang kepada saya mula menanam padi pada 2016.

“Bagaimanapun, saya tidak menghasilkan padi yang diproses menjadi beras, sebaliknya saya mengikat perjanjian dengan syarikat di Muar, Johor untuk menghasilkan padi yang diproses menjadi benih padi,” katanya ketika ditemui di kampung itu baru-baru ini.

Abdul Aziz Abdullah menyembur racun membasmi makhluk perosak di batas sawah.

Abdul Aziz menjelaskan, syarikat berkenaan meminta beliau menanam padi jenis MR269 yang dihasilkan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Katanya, melalui bantuan subsidi baja dan racun kerajaan, beliau mengusahakan penanaman padi dua kali setahun dengan memilih benih MR269 yang mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh 100 hari.

Kerja penyediaan tapak penanaman selama dua bulan membabitkan kerja membajak, menjemur tanah dan putar kering sebanyak tiga kali sebelum menyalurkan air dari tali air disediakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ke petak sawah.

“Selepas itu saya menjalankan proses sisir, iaitu meratakan air supaya ia sekata dalam setiap petak sebelum mula menanam padi dengan menggunakan jentera ‘transplanter,’ yang saya bawa dari Sekinchan,” katanya.

Beliau berkata, bagi musim pertama penanaman pada 2016, beliau berjaya memperoleh 150 tan padi dan ia meningkat kepada 160 tan pada tahun berikutnya hingga sekarang.
Bagaimanapun, Abdul Aziz terpaksa menyewa jentera penuai padi dari Sekinchan untuk memastikan padi yang menguning mampu dituai dalam tempoh seminggu sebelum dibawa ke Muar.

Untuk penjualan padi yang diproses menjadi benih, beliau menerima pulangan RM1,400 satu tan berbanding RM1,200 satu tan jika menjual padi yang diproses menjadi beras.
Bagaimanapun, beliau harus sentiasa memastikan tanamannya tidak dirosakkan oleh pelbagai makhluk perosak seperti siput gondang emas bagi menghasilkan padi yang benar-benar berkualiti untuk dijadikan benih.

Views:

997
Kongsi :
Previous post COVID-19: Jumlah kes positif kembali catat satu angka
Next post Masjid Bemban dijangka siap November ini
Ubah saiz-+=