Pengorbanan pegawai dan anggota Rejimen 514 Askar Wataniah dihargai

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 28 Sept. – Seramai 300 pegawai dan anggota Rejimen 514 Askar Wataniah menerima sijil penghargaan operasi Penawar COVID-19 di Kem Bukit Beruang di sini hari ini.

Kesemua mereka diberi penghargaan di atas pengorbanan mencurahkan bakti dan keringat untuk bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dalam majlis itu, seramai 50 pegawai dan anggota sukarelawan turut menerima sijil selepas tamat Kursus Asas Perajurit Muda Siri 2/2020.

SULAIMAN bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka yang juga Pengerusi JAKPAW, Datuk Seri Dr Hasim Hasan bergambar bersama pegawai dan anggota Rejimen 514 Askar Wataniah di Kem Bukit Beruang selepas selesai upacara penyampaian sijil tersebut.

Sijil berkenaan disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka, yang juga Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Komander Artileri Divisyen, Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Merangkap Appointed Military Commander, Brigedier Jeneral Noor Sazali bin Puteh, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka yang juga Pengerusi JAKPAW, Datuk Seri Dr Hasim Hasan; Pemerintah Garison Gemas, Kolonel Che Manan Saad dan Komander Rejimen 514 Askar Wataniah, Brigedier Jeneral Datuk Yusof Jantan.

Sulaiman dalam ucapannya berkata, kebanyakan negara luar masih mencatatkan kes COVID-19 yang tinggi.

Bagaimanapun katanya, kes COVID-19 di negeri ini masih terkawal di atas usaha dan kerjasama daripada para petugas barisan hadapan serta rakyat Melaka sendiri bagi mengekang penyebaran wabak itu.

Jelasnya, latihan atau kursus askar wataniah adalah salah satu agenda utama dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menyediakan satu angkatan sukarela yang kompeten dan membantu angkatan tetap selari dengan konsep membantu ganti (augmentation) dalam sebarang konflik.

“Keanggotaan angkatan sukarela ini terdiri daripad-pelbagai lapisan dan latar belakang masyarakat dalam negeri Melaka.

“Menjadi hasrat saya untuk melihat anak watan negeri Melaka bersama-sama turut serta dalam menjaga kedaulatan negara dan negeri ini dengan komitmen padu pihak Markas Artileri Divisyen, 3 Divisyen melalui kepimpinan Komander Artileri Divisyen.

“Saya percaya, kursus serta latihan yang digariskan pada tahun ini akan meningkatkan tahap kompetensi dan pada masa yang sama membentuk angkatan sukarela yang kredibel serta mempunyai tahap kesiagaan yang tinggi,” katanya.

Views:

1877
Kongsi :
Previous post Melaka United tewas di Likas
Next post Istiadat angkat sumpah Ketua Menteri Sabah esok
Ubah saiz-+=