Pengurusan hutan lipur dan rekreasi dikembalikan kepada JPNM berkuat kuasa hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

MASJID TANAH 21 Mac – Lima hutan lipur dan hutan rekreasi di negeri ini dikembalikan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Melaka (JPNM) untuk diuruskan serta dijenamakan semula sebagai Taman Eko Rimba (TER).

Lima hutan lipur dan hutan rekreasi itu adalah Hutan Simpan Bukit Sedanan, Hutan Paya Laut Linggi, Hutan Rekreasi Sungai Udang, Hutan Rekreasi Bukit Batu Lebah dan Hutan Rekreasi Tanjung Tuan.

Hutan Rekreasi Ayer Keroh atau Taman Botanikal Melaka masih di bawah tanggungjawab dan pengurusan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

 

SULAIMAN…kerajaan negeri putuskan semua kemudahan dan penyelenggaran hutan berkenaan kini diuruskan JPN manakala KMB menguruskan pembangunan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, sebelum ini pengurusan dan penyelenggaraan kelima-lima hutan berkenaan diserahkan kepada Kumpulan Melaka Berhad (KMB) menerusi keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (MMKN) pada 18 Julai 2012.

Bagaimanapun, menerusi MMKN yang bersidang pada 17 Februari lalu, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menyerahkan kembali pengurusan dan penyelenggaraan semua kemudahan hutan berkenaan kepada Jabatan Perhutanan negeri berkuat kuasa hari ini.

“Sebelum ini pengurusan terhadap kemudahan yang ada dalam hutan lipur dan hutan rekreasi diuruskan oleh KMB manakala Jabatan Perhutan hanya menyelenggara pokok atau tumbuhan yang ada dalam hutan berkenaan.

“Bagai sirih pulang ke gagang, jadi kita putuskan semua kemudahan dan penyelenggaran hutan berkenaan kini diuruskan oleh Jabatan Perhutanan negeri manakala KMB berbalik semua kepada urusan pembangunan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2021 secara maya di bangunan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Lendu di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Salhah Salleh, Pengarah Perhutanan Negeri Melaka, Khirun Nizam Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif KMB, Mohd Saleh Jusman.

Sulaiman berkata, penyerahan semula semua hutan lipur dan hutan rekreasi itu dipersetujui selaras dengan
Dasar Perhutanan Malaysia yang dirasmikan hari ini.

“Sebagaimana penyatuan Dasar Perhutanan Malaysia yang menyatukan dasar perhutanan bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri turut menyatukan semula semua fasiliti dalam hutan lipur dan hutan rekreasi di negeri di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1079
Kongsi :
Previous post KDA FC lonjak ke kedudukan ketiga, Penang FC benam Gergasi Merah
Next post Urusan pindah nama koperasi dipermudah-Wan Junaidi
Ubah saiz-+=