Urusan pindah nama koperasi dipermudah-Wan Junaidi

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

ALOR GAJAH 21 Mac. – Urusan memindahkan nama satu-satu koperasi kini dipermudah selepas pindaan Akta Koperasi 1993 diluluskan di Parlimen Disember lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata menerusi pindaan itu, mana-mana koperasi hanya perlu memaklumkan sahaja kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berbanding perlu mendapatkan kebenaran daripada agensi tersebut sebelum ini.

“Ia akan memudahkan urusan pihak koperasi untuk memindahkan nama lama kepada nama baharu tanpa perlu kebenaran daripada SKM,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat SKM Cawangan Masjid Tanah di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalannya Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata akta yang mula berkuat kuasa pada 1 Mac lalu juga memberi kelonggaran kepada mana-mana pihak untuk menubuhkan koperasi dengan penyertaan 20 orang sahaja berbanding 50 orang sebelum ini.

Beliau berkata bagi golongan profesional pula, hanya lima individu diperlukan bagi menubuhkan koperasi, dengan akta yang dipinda tersebut memberi kemudahan pentadbiran kepada satu-satu koperasi.

“Bagi koperasi biasa, sekurang-kurangnya 25 orang diperlukan untuk tandatangan minit mesyuarat namun di bawah pindaan akta ini, hanya 10 orang sahaja diperlukan manakala bagi koperasi profesional pula, hanya dua orang diperlukan untuk tujuan pengesahan minit mesyuarat berkenaan.

“Langkah ini diambil bagi memudahkan penubuhan sesebuah koperasi sekali gus dapat memperbanyak koperasi dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan pembangunan dan pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM) berjumlah RM1.2 juta kepada 11 koperasi di Melaka.

Kementeriannya, menerusi SME Corp dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional turut menyampaikan pembiayaan kepada 15 usahawan SME Corp di bawah Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) dan Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) serta 10 usahawan TEKUN Nasional di bawah Program Skim Pembiayaan Informal, dengan jumlah pembiayaan masing-masing berjumlah RM1.2 juta dan RM50,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

653
Kongsi :
Previous post Pengurusan hutan lipur dan rekreasi dikembalikan kepada JPNM berkuat kuasa hari ini
Next post Pejabat SKM Masjid Tanah mudahkan urusan koperasi
Ubah saiz-+=