Pengusaha bot pisang sudah tersenyum

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TANJUNG BIDARA 12 Julai – Pengusaha bot pisang yang sebelum ini menerima kesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kini sudah mampu tersenyum.

Mereka juga sudah mampu menarik nafas lega berbanding keadaan tiga bulan sejak Mac lalu yang menyaksikan bot pisang mereka tersadai tanpa penumpang.

Kini pengusaha terbabit sudah mampu mengukir senyuman dan bernafas lega apabila pantai peranginan popular Pengkalan Balak dan Padang Kemunting, di sini kembali dipenuhi pengunjung.

Jika sebelum ini bot berkenaan hanya tersadai di bawah pokok ketapang akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) membolehkan pengusaha terbabit menarik nafas penuh kesyukuran.

Nur Amir Zul

Nur Ammir Zul, 27, berkata, PKPP memberi peluang kepadanya untuk kembali aktif mencuba menarik seramai mungkin pengunjung pantai untuk menaiki bot berkenaan selepas lebih tiga bulan terpaksa membiarkan bot berkenaan sekadar menjadi penunggu setia di bawah pokok.

“Alhamdulillah, sejak kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan, terutama beriadah di pantai, bot pisang saya sudah kembali meluncur di pantai ini dan tidak lagi menjadi penunggu setia di bawah pokok.

“Kadar bayaran masih sama iaitu RM10 seorang penumpang dan maksimum hanya tujuh penumpang yang dibawa meluncur selama kira-kira 15 minit bagi satu pusingan,” katanya ketika ditemui di pantai Pengkalan Balak hari ini.

Beliau berkata, berikutan ketiadaan operasi sepanjang PKP, beliau terpaksa mencari rezeki dengan membantu abang dan bapanya mengendalikan penternakan itik telur dan pedaging.

Katanya, peluang itu juga diambilnya untuk membuat kerja penyelenggaraan enjin bot bagi memastikan ia mampu berfungsi dengan sempurna apabila PKP dan PKPB berakhir.

Pengendali bot, Salahuddin Abdul Karim, 26, berkata beliau gembira PKP dan PKPB sudah berakhir dan peluang itu digunakan untuk menggembirakan penumpang bot pisang yang teruja meluncur di permukaan laut.

“Alhamdulillah, semasa PKP dan PKPB, saya terpaksa berkebun untuk mencari wang tetapi sekarang saya sudah dapat menyambung kerja yang tergendala sejak lebih tiga bulan lalu,” katanya.

Views:

321
Kongsi :
Previous post Kes ‘sejuk beku’ JSJK dibuka semula, disiasat
Next post Gosok kulit penyu mengujakan petugas BSN
Ubah saiz-+=