Gosok kulit penyu mengujakan petugas BSN

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

TANJUNG BIDARA 12 Julai – Seramai 14 pegawai dan kakitangan Jabatan Perbankan Islam Bank Simpanan Nasional (BSN) teruja berpeluang menggosok kulit cengkerang penyu karah dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Mereka menyental kulit keras berkenaan bagi menanggalkan lumut, selain membasuh kolam pemeliharaan penyu di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP), Padang Kemunting, Masjid Tanah di sini.

Jika sebelum ini mereka tidak pernah menyentuh kulit cengkerang haiwan maritim itu, kali ini mereka bukan setakat menyentuhnya, malah menyentalnya daripada lumut yang memenuhi kulit berkenaan.

Kepuasan mampu menghilangkan lumut daripada kulit cengkerang keras itu jelas terpancar pada wajah mereka.
Aktiviti berkenaan dijalankan ketika mereka bergotong-royong membersihkan kolam pemuliharaan penyu karah di pusat itu dengan diketuai Naib Presiden jabatan berkenaan, Rozaini Abdul Rahim yang turut disertai Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Nawar Abdul Karim.

Petugas Jabatan Perbankan Islam BSN menyental kulit cengkerang penyu karah.

Rozaini berkata, mereka amat teruja diberi peluang menggosok kulit cengkerang penyu karah kerana sebelum ini mereka hanya mampu melihat gambar penyu dan tidak berpeluang mengenali haiwan maritim itu secara lebih dekat.

“Program CSR ini adalah yang kedua kami anjurkan selepas kami menziarahi dan bersedekah kepada gelandangan di Kuala Lumpur tahun lalu dan kali ini kami bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Melaka.

“Kami ingin merapatkan ukhwah antara jabatan ini dengan pelbagai agensi kerajaan dan orang ramai, selain menanam rasa kasih dan cinta terhadap haiwan maritim dalam jiwa kakitangan dan anggota keluarga mereka yang turut serta dalam program ini,” katanya ketika ditemui di PKPP hari ini.

Selain membersihkan kolam berkenaan, mereka turut berpeluang melepaskan 180 anak penyu yang baru menetas di Pusat Pengeraman dan Penetasan PKPP selepas dieram dalam pasir pantai selama 60 hari ke laut.

Rozaini (empat dari kiri) dan Nawar (tiga dari kiri) dan kakitangan Jabatan Perbankan Islam BSN melepaskan 180 anak penyu di pantai Padang Kemunting.

Sementara itu Nawar berkata, jabatan berkenaan sedia bekerjasama dengan syarikat korporat bagi meningkatkan kemajuan usaha pemuliharaan penyu, terutama penyu karah yang menjadi bahan kajian utama PKPP.

Katanya, kajian jabatan itu dan PKPP mencatatkan sebanyak 5,143 pendaratan penyu karah di negeri ini, terutama di pantai Melaka barat dari 2009 hingga 2019.

Daripada hanya 380 pendaratan pada 2009, ia meningkat dari semasa ke semasa dengan jumlah paling tinggi dicatatkan pada 2018 sebanyak 600 dan diikuti pada 2017 (573), 2011 (568) dan 2019 (548).

Sebanyak 611,812 biji telur penyu dicatatkan di pantai negeri ini sejak 2009 hingga 2019 dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada 2018 sebanyak 71,044 biji dan diikuti tahun lalu (66,695 biji).

Antara pantai yang menjadi tumpuan haiwan marin itu bertelur ialah Padang Kemunting, Pasir Gembur, Balik Batu, Kem Terendak, Tanjung Bidara, Teluk Belanga, Kuala Linggi, Meriam Patah, Tanjung Serai, Tanjung Dahan, Pengkalan Balak dan Pulau Upeh.

Views:

627
Kongsi :
Previous post Pengusaha bot pisang sudah tersenyum
Next post Harga ayam bawah RM9 sekilogram
Ubah saiz-+=