Peniaga Cina puji kepimpinan Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDA HILIR 31 Mac – Genap setahun mentadbir Negeri Melaka pada 31 Mac membuktikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bukan sekadar pemimpin berjiwa rakyat, bahkan disenangi pelbagai pihak.

Antara yang menghamburkan pujian adalah daripada golongan peniaga yang kini menerima limpahan ekonomi hasil pelbagai inisiatif dilaksanakan Ketua Menteri.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, pujian itu bukan sahaja datang daripada peniaga Melayu, bahkan rata-rata peniaga Cina turut mengagumi kepimpinan Ab Rauf dalam mentadbir negeri.

“Ini kerana kebanyakan mereka dapat melihat Ketua Menteri seorang yang rajin, agresif dan bijak mengambil peluang dalam memajukan Melaka.

“Ini dapat dilihat dari sudut pelaburan dan perniagaan yang mana Ketua Menteri telah membuktikan beliau mempunyai visi dan misi berbeza untuk membawa Melaka ke satu tahap lebih baik.

“Sebagai contoh, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru sahaja mengadakan lawatan rasmi ke Jerman untuk memperkukuh hubungan dan Ketua Menteri telah lebih awal mengambil peluang mewujudkan German Industrial Park yang bakal membawa limpahan ekonomi untuk Negeri Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Allex yang juga Setiausaha DAP Negeri Melaka berkata, kepimpinan Ab Rauf berjaya mewajah sektor pelancongan sehingga menjadikan Melaka antara negeri paling berjaya tahun ini.

“Ia dapat dilihat menerusi kehadiran pelancong dari China yang dahulunya hanya datang sekejap, namun kini memilih untuk bermalam di Melaka.

“Ia hasil pelbagai usaha yang dijalankan, termasuklah penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang menjadikan Melaka antara negeri paling agresif dan berjaya berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

599
Kongsi :
Previous post ‘Perdana Menteri tak lupa orang kampung’
Next post 80 asnaf DUN Asahan diraikan
Ubah saiz-+=