Peniaga dakwa rugi RM139,500 ditipu Macau Scam

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KUANTAN 5 Okt. – Seorang peniaga mendakwa kerugian RM139,500 akibat diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akhir bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun mendakwa menerima panggilan telefon pada 25 September daripada seorang wanita kononnya pegawai LHDN di Melaka.

“Suspek (wanita) mendakwa syarikat ditubuhkan mangsa mempunyai tunggakan cukai, yang dinafikan mangsa menyebabkan wanita itu menghubungkan panggilan itu kepada seorang suspek lelaki kononnya pegawai polis di Ibu Pejabat Kontinjen Melaka bagi membantu mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SUPERINTENDAN Mohd Wazir Mohd Yusof. Foto-Facebook Polis Pahang.

Mohd Wazir berkata ‘pegawai polis’ itu kemudian memaklumkan syarikat di bawah nama mangsa turut terlibat dengan siasatan kes jenayah dan mangsa perlu menyerahkan maklumat peribadi serta perbankan bagi tujuan semakan untuk ‘membersihkan’ wang mangsa.

Selain itu, mangsa juga diarahkan memindahkan wang miliknya ke akaun sementara diberikan ‘pegawai polis’ itu sehingga siasatan selesai, yang dilakukan mangsa menerusi 11 transaksi secara dalam talian bermula 27 September hingga semalam.

Beliau berkata mangsa mula berasa curiga apabila ‘pegawai polis’ itu enggan menjawab jangkaan masa untuk wangnya dikembalikan semula selain semakin mendesak supaya lebih banyak transaksi pemindahan wang dibuat.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Ruan, Raub semalam dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

371
Kongsi :
Previous post ‘Hubungan saya dan mereka baik’ – KM
Next post 88 peratus populasi dewasa divaksinasi sepenuhnya
Ubah saiz-+=