Sorting by

×

Peniaga harap jualan tidak terjejas

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 13 Okt. – “Walaupun ada masanya rasa malas untuk buka kedai berniaga tetapi saya dan suami gagahkan jua kerana punca pendapatan kami bergantung kepada hasil jualan.

“Selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas saya tengah mengumpul kembali modal yang rugi akibat barang niaga terpaksa dibuang kerana rosak selepas lebih tiga bulan tidak boleh berniaga,” kata peniaga Rosnina Halim.

Menurutnya yang berniaga produk makanan dan kraftangan Melaka itu, pengumuman yang dibuat kerajaan membabitkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan Bersyarat (PKPB)
di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula malam ini hingga 27 Oktober depan secara tidak langsung akan mempengaruhi kedatangan pelancong ke negeri ini.

Katanya, berbanding sebelum ini kedatangan pelancong ke Melaka tidak seramai dahulu menyebabkan dia tidak berani untuk menanggung risiko dengan menambah stok yang banyak di gerai jualannya.

“Walaupun kebanyakan pelancong yang datang ke sini dari tiga kawasan yang terbabit dengan PKPB diharap tidak memberi impak yang begitu besar dan akan ada pelancong dari negeri lain yang datang ke Melaka.

“Sekarang ini berniaga untuk dapat RM100 agak susah, namun saya dan suami tetap berniaga seperti biasa kerana apa yang penting dapat menjelaskan sewa kedai,” katanya.

Sementara itu, bagi penjual kuih cakoi Muhamad Raihan Md Rahim pula berkata, kemerosotan kedatangan pelancong ke Melaka secara tidak langsung menjejaskan perniagaannya memandangkan gerainya itu sering menjadi tumpuan ‘orang luar’.

Menurutnya, trend kemerosotan itu sudah dilihatnya selepas angka membabitkan kes COVID-19 kembali naik dan dengan pelaksanaan PKPB yang diumumkan juga dijangkakan pelancong akan terus berkurang.

“Jika sebelum ini kami akan membuat bancuhan cakoi sebanyak 24 kilogram sehari, tetapi kini hanya 12 kilogram dan diharap ianya tidak berkurang lagi.

“Disebabkan itu kami terpaksa memperbanyakkan lagi ‘marketing’ dalam usaha untuk menarik pelanggan tempatan juga selain turut menyediakan perkhidmatan penghantaran,” katanya.

Views:

1268
Kongsi :
Previous post Projek Urban Ocean urus sistem sampah – MBMB
Next post Jururawat dakwa diganggu secara seksual oleh warga emas
Ubah saiz-+=