Jururawat dakwa diganggu secara seksual oleh warga emas

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 13 Okt. – Seorang jururawat di sebuah hospital di sini membuat laporan polis selepas mendakwa diganggu secara seksual oleh lelaki warga emas yang menjalani rawatan COVID-19 dalam hospital tersebut di sini, semalam.

Laporan polis berkenaan, bagaimanapun tular di laman sosial sejak semalam.

Difahamkan, suspek berusia 60 tahun itu didakwa mengeluarkan perkataan berbaur lucah ketika mangsa berusia 30 tahun itu sedang melakukan prosedur rawatan di wad berkenaan.

Menurut laporan polis itu, mangsa dikatakan sedang mengambil darah pesakit itu dalam sebuah wad unit rawatan rapi (ICU) di hospital tersebut.

Ketika mangsa sedang menjalankan rutinnya, pesakit tersebut membuat panggilan telefon dengan seorang wanita dan membuka pembesar suara semasa perbualan itu.

Menurut laporan itu juga, suspek didakwa memberitahu penerima panggilan telefon wanita itu bahawa dia sedang melakukan sesuatu dengan jururawat di wad dan wanita tersebut boleh melakukan panggilan video sekiranya tidak percaya.

Sebaik menamatkan perbualan, warga emas itu kemudian meminta untuk mangsa melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya, namun wanita terbabit enggan sebelum beredar memandangkan ketika kejadian hanya suspek dan mangsa dipercayai berada dalam wad berkenaan.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah kelmarin kerana bimbangkan keselamatan dirinya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris ketika dihubungi mengesahkan mengenai laporan polis terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Ismail Ali dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya turut menerima maklum mengenai laporan tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, pihaknya turut menjalanakan siasatan dalaman secara komprehensif bagi mengenal pasti dakwaan tersebut.

Views:

297
Kongsi :
Previous post Peniaga harap jualan tidak terjejas
Next post KKBBM rangkul anugerah emas PERISA ’20
Ubah saiz-+=