Penjawat awam antara empat lelaki ditahan miliki air ketum

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 23 Nov – Seorang penjawat awam antara empat lelaki ditahan bersama 55 bungkus air ketum dalam serbuan di Taman Terendak Permai, Sungai Udang dekat sini kelmarin.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada jam 9.00 malam itu menahan semua suspek berusia antara 29 hingga 60 tahun.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata dalam serbuan itu, empat lelaki termasuk seorang penjawat awam berusia 45 tahun ditahan kerana dipercayai memiliki air ketum.

Jelasnya, polis turut merampas 55 bungkusan mengandungi air ketum dalam serbuan sama.

“Seorang daripada empat lelaki tersebut adalah merupakan penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini dan semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 31(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksium empat tahun atau kedua-duanya.

“Tiga suspek direman tiga hari bermula Jumaat hingga hari ini manakala seorang lagi suspek disambung reman bermula hari ini sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan,’ katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Majid berkata, serbuan turut dijalankan di dua premis pusat hiburan di sekitar Melaka Raya pada jam 11.30 malam Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam serbuan itu polis menahan 10 lelaki dan empat wanita dipercayai terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Katanya, semua 14 suspek itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh badan.

“Dalam serbuan itu, polis turut menahan dua lelaki dan empat wanita warganegara asing mengikut Seksyen 55B dan 39(b) Akta Imigresen 1959/63.

“Manakala 31 individu lagi dikenakan kompaun mengikut Peraturan 3
Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (No.8) (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Views:

1215
Kongsi :
Previous post Penunggang Grabfood ‘hanyut’ satu kilometer
Next post Perkembangan semasa banjir daerah Melaka Tengah setakat jam empat petang
Ubah saiz-+=