Sorting by

×

PENSYARAH UITM MAUT MOTOSIKAL REMPUH LORI

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

JASIN 11 Mac – Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Jasin maut selepas motosikal ditungang terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Dato Mulia, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa Hamdan Sulaiman, 34, disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, sebelum kejadian kedua-dua kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah sama iaitu dari Bulatan Scientex Serkam menghala ke Bukit Kepok dan melalui Jalan Mulia.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu warga emas berusia 62 tahun yang ketika itu berada di hadapan telah membuat pusingan U secara tiba-tiba.

“Mangsa yang kebetulan berada di belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian sisi kanan kenderaan berat terbabit.

“Siasatan dilakukan turut mendapati lori terbabit membuat pusingan U di kawasan garisan berkembar iaitu tempat yang tidak dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

“Sementara itu pemandu lori pula dilaporkan mengalami sakit dada selain kedua-dua kenderaan yang terbabit kemalangan kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi tindakan lanjut,” katanya.

Jelasnya, orang awam atau pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi terus pegawai penyiasat Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533 atau kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, 06-5292222 (sambungan 260),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post MPAG EDAR LEBIH 800 BUNGKUS BUBUR LAMBUK
Next post AGIHAN 6,000 KUPON E-DOMPET DI PASAR RAMADAN TAMAN SERI DUYONG