Pentas teater Encore Melaka kembali beroperasi, sasar setanding Istana Budaya

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KOTA SYAHBANDAR 9 Mei – Memulakan kembali operasinya pada 30 April 2022, Encore Melaka kini menawarkan pakej pementasan teater yang menghimpunkan penggiat industri seni dari seluruh Malaysia.

Dengan kepelbagaian seni yang bakal ditampilkan menerusi konsep pementasan mahupun persembahan muzik, Encore Melaka membuka ruang bagi produksi tempatan melebarkan sayap mereka di pentas berprestij.

Penolong Pengurus Pemasarannya, Mandy Choon berkata, pihaknya sudah merangka pelbagai program sehingga hujung tahun ini bagi merancakkan semula bangunan itu, termasuk menjadikannya sebagai pentas bertaraf dunia.

“Kalau negara ada Istana Budaya dan Genting Highland yang menjadi tumpuan pengunjung untuk menonton teater, Melaka pun tak mustahil ke arah itu.

“Sebelum ini teater banyak tentang kebudayaan Melaka sahaja tapi kali ini kami berkolaborasi dengan produksi seni tempatan di mana kita sediakan platform ini dengan fasiliti yang ada untuk mereka mempersembahkan karya mereka.

“Kita dapat sambutan yang amat baik apabila baru-baru ini kita kolaborasi dengan Orang-Orang Drum Threatre dari Kuala Lumpur yang mempersembahkan ‘Mending The Broken Sky’ masa pembukaan Encore tempoh hari,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Menurut Mandy lagi, pementasan teater yang bakal ditampilkan meliputi pelbagai genre dan mampu dinikmati oleh semua peringkat umur dan kaum di negara ini.

“Hari raya ini kita ada sebuah teater Melayu dan sebuah filem pendek bertajuk ‘Tanjung’ serta pelbagai lagi persembahan berbentuk konsert.

“Jadi penonton boleh menikmati semua ini dengan harga istimewa setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Untuk maklumat lanjut, layari website kami www.encore-melaka.com,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2549
Kongsi :
Previous post Jenazah bekas Pengarang Urusan Bernama selamat dikebumi
Next post One Medic miliki enam cawangan klinik di Melaka
Ubah saiz-+=