‘Perajurit cilik’ sambut Hari Merdeka
KLEBANG 30 Ogos- Gelagat kira-kira 150 murid Tadika Iman Mutiara, Klebang berpakaian celoreng tentera berarak sambil mengibarkan Jalur Gemilang mencuit hati orang ramai.
Lebih mencuit hati apabila melihat gelagat mereka menjalani ‘latihan’ ala tentera dengan melepasi laluan berhalangan yang dikendalikan oleh beberapa anggota Tentera Darat Malaysia (TDM).
Aktiviti berkenaan adalah sebahagian daripada sambutan Hari Kemerdekaan murid tadika berkenaan yang dirasmikan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat, di sini, hari ini.
Meskipun baru berusia antara empat hingga lima tahun, murid berkenaan kelihatan amat bersemangat ketika menyanyikan lagi patriotik dan meluangkan ‘merdeka’.
Ibu kepada salah seorang murid berkenaan, Inani Yunus, 32, berkata, meskipun baru berusia empat tahun anak perempuannya sudah memahami simbol dan maksud warna pada Jalur Gemilang.
“Anak saya amat teruja untuk menyertai program hari ini, malah sejak seminggu lalu dia mula menghafal lagu-lagu patriotik.
“Pagi tadi dia semakin bersemangat untuk ke sekolah selepas melihat baju celoreng askar yang akan dipakai. Aktiviti sebegini memang wajar diadakan untuk menyuntik semangat sayangkan negara dalam kalangan jiwa anak kecil kita,” katanya.
Sementara itu Mohamad Nor Hadi Elias, 35, berkata, program seumpama itu amat perlu untuk melahirkan generasi yang faham mengenai erti kemerdekaan yang sebenar.
“Jika guru hanya bercerita, mungkin anak-anak ini tidak dapat menggambarkan apa mahu disampaikan, tetapi menerusi program seumpama ini mereka bukan saja faham tetapi akan ingat.
“Kehadiran abang askar juga menjadikan anak-anak semakin bersemangat. Saya berharap agar program seperti ini dapat diteruskan lagi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.