Perarakan tersekat, Ahli Parlimen Pembangkang gagal masuk bangunan Parlimen

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Seramai 107 ahli Parlimen Pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal  memasuki bangunan Parlimen hari ini, lapor Berita Harian.

Difahamkan ia berikutan rundingan antara Anwar dan wakil pihak berkuasa gagal mencapai kata sepakat.

Semua laluan masuk ke Parlimen juga dikawal ketat pasukan polis termasuk anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sejak awal pagi selepas Sidang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ditunda dua minggu.

Terdahulu, puluhan ahli parlimen terbabit berarak dari Dataran Merdeka selepas ucapan ringkas dibuat presiden beberapa parti pembangkang.

LALUAN masuk ke Parlimen ditutup dan dikawal anggota FRU. Foto – Harian Metro

Namun, cubaan mereka untuk masuk ke laluan menuju Parlimen menerusi Bulatan Bank Negara dihalang anggota FRU sebelum diarah bersurai oleh pegawai polis.

Anwar pada sidang medianya selepas itu menegaskan kerajaan diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meletak jawatan selepas mencabuli Perlembagaan dan membelakangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan rakyat.

Berdasarkan siaran langsung Ubah.TV di Facebook Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, didapati perarakan terkawal.

Astro Awani pula melaporkan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyertai perjumpaan Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka.

Pengerusi Pejuang itu dan beberapa ahli parti itu juga mengeluarkan kenyataan bersama menggesa Perdana Menteri, Muhyiddin dan seluruh jemaah menteri berundur daripada jawatan masing-masing.

Selain Tun Dr Mahathir kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

620
Kongsi :
Previous post PM ucap syabas kepada Dhabitah atas aksi mengagumkan
Next post Warga emas didakwa lakukan amang seksual terhadap dua cucu
Ubah saiz-+=