Perbaiki taraf kebersihan Melaka sekarang – Mohd Ali

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 28 Feb – Isu kebersihan di Melaka perlu diperbaiki sekali gus mampu memberi keselesaan dan tarikan kepada pelancong.

Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam berkata usaha itu perlu diperkasakan lagi berikutan negeri ini pernah menjadi negeri contoh dan terkenal sebagai negeri terbersih di negara ini.

Beliau berkata, aspek kebersihan akan memberi nilai tinggi kepada sesebuah negeri agar menjadi keselesaan dan tarikan kepada pelancong.

“Mari kita berfikir sejenak, adakah jalan raya, sungai-sungai, kawasan perumahan, taman permainan berada dalam keadaan bersih tanpa sampah sarap berlonggok dan betebaran?

“Saya menyeru kepada semua pihak termasuk rakyat di negeri ini bersama-sama berusaha untuk meningkatkan kegemilangan Melaka seperti mana dahulu terkenal menjadi negeri paling bersih dan contoh serta ikutan kepada negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diadakan di Seri Negeri, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan aspek kebersihan juga perlu dititik beratkan dalam penjagaan warisan tinggalan sejarah di negeri ini.

Katanya, aspek pembersihan serta pemeliharaan keunikan warisan berkenaan mampu menggamit semula kedatangan pelancong ke Melaka.

“Selain itu, bagi menarik pelancong ke Melaka pelbagai hiasan dan keceriaan dari lampu-lampu mampu memeriahkan Bandar Melaka melalui pelbagai perayaan yang disambut dari setiap etnik di negeri ini.

“Malah, dalam fasa pasca COVID-19 pematuhan prosedur operasi standard (SOP) amat penting dalam kalangan penggiat industri termasuk jabatan dan agensi kerajaan untuk menawarkan perkhidmatan mesra dan selamat kepada pelancongan.

“Ia perlu dilaksanakan bagi memastikan sektor pelancongan boleh terus beroperasi dengan kepelbagaian aktiviti ekonomi yang menjana pendapatan kepada rakyat tempatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

969
Kongsi :
Previous post Rancakkan pertanian di Melaka
Next post ADUN perlu tunjuk teladan dan matang ketika bersidang – Mohd Ali
Ubah saiz-+=