Percepatkan bantuan alat peranti komunikasi sebelum sekolah dibuka

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

TANGGA BATU 22 Julai – Pemimpin di kawasan masing-masing disaran menyegerakan bantuan alat peranti komunikasi kepada pelajar asnaf dan miskin sebelum sesi persekolahan dibuka mulai 1 September ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rais Yasin berkata, pemimpin perlu bijak menangani masalah rakyat dalam keadaan kritikal termasuk menyelesaikan masalah pembelajaran dalam talian yang membelenggu golongan itu.

Jelasnya, apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan sesi persekolahan bakal dibuka semula pada September ini, pastinya ramai pelajar dalam golongan itu akan keciciran pelajaran kerana tidak mempunyai alat komunikasi.

RAIS (kanan) menyampaikan bantuan telefon pintar kepada keluarga asnaf di Tangga Batu.

“Tindakan segera perlu diambil, jangan ditangguh atau dilengahkan bantuan kepada golongan itu bagi mengelakkan mereka tercicir dalam pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rais yang juga Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, pemimpin di kawasan masing-masing turut digesa untuk lebih cakna dan kerap turun padang bagi meninjau nasib pelajar ketika menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Tindakan itu penting supaya mereka lihat sendiri kesusahan pelajar untuk mendapatkan akses pembelajaran sempurna.

“Yang lebih merisaukan dalam tinjauan yang dilakukan, kebanyakan pelajar sekolah menengah terutama dalam kalangan calon SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) masih ramai tidak hadir sesi PdPR.

“Waktu kritikal ini bukan masa yang sesuai untuk berjanji dan menawarkan projek pembinaan infrastruktur sekolah, sebaliknya solusi segera untuk kegunaan pelajar seperti bantuan peranti dan kemudahan internet,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan 15 telefon pintar kepada pelajar golongan asnaf dan miskin di kawasan Parlimen Tangga Batu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

625
Kongsi :
Previous post Syed Saddiq didakwa pecah amanah dana Armada RM1 juta, salah guna wang untuk kempen PRU14
Next post Yayasan Petronas sumbang 58 peranti digital bernilai RM145,000
Ubah saiz-+=