Perkhidmatan Airbnb wajar dilesenkan, perlu ada garis panduan

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDA HILIR 21 Okt. – Pelesenan yang sah dan syarat-syarat tertentu perkhidmatan Airbnb (Air Bed and Breakfast) perlu diambil perhatian agar tidak membawa kesan dalam saingan sektor perhotelan di negara ini.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu perlu dibincangkan dan dibawa kepada peringkat kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyelaraskannya ke arah memulihkan ekonomi negara.

“Saya fikir kita ambil perhatian kerana ini merupakan aktiviti persaingan yang membawa kesan kepada industri perhotelan dan sebagainya.

“Melihat konteks pemulihan ini apa sahaja bentuk kegiatan ekonomi mesti boleh membantu, tapi peraturan tertentu perlu disediakan, kemudian apakah syarat-syaratnya perlu dibincangkan diperingkat kerajaan negeri, PBT bersama pihak pelancongan.

“Walaupun dikatakan ia tidak dilesenkan sekarang, tapi apa kata kita lesenkan sekarang tapi dengan syarat yang ada perkara-perkara yang mereka perlu patuhi misalnya soal keselamatan, bangunan dan kesihatan.

“Kalau itu dapat dipatuhi dan tak membebankan maka pengusaha Airbnb ini dapatlah berjalan secara sah dan memulihkan ekonomi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Dialog Bersama Penggiat Ssektor Ekonomi dam Sosial di Hotel Hatten, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen.

Terdahulu, dalam sesi dialog terbabit, Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Madelina Kuah meluahkan dilema yang dihadapi pemain industri Melaka dan menyifatkan perkhidmatan yang tidak diberikan cukai itu seolah-olah membunuh indusri perhotelan di negeri ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin menjawab, biarpun perkhidmatan itu membantu golongan kurang kemampuan mendapatkan perkhidmatan setara perhotelan dengan lebuh murah, namun perkara itu perlu dikaji ke peringkat tertinggi.

Ia katanya, termasuk melibatkan badan-badan agensi pelancongan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) agar dapat dikawal sewajarnya.

Views:

395
Kongsi :
Previous post Jenazah anggota bomba lemas selamat dikebumikan
Next post Majlis Pemulihan Negeri perlu segera ditubuhkan – Muhyiddin
Ubah saiz-+=