Sorting by

×

Perkhidmatan X-ray Hospital Putra guna teknologi pendigitalan terkini

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 26 Mac – Kemudahan X-ray Hospital Putra kini dinaik taraf ke tahap pendigitalan terkini sekali gus menawarkan perkhidmatan perubatan terbaik kepada orang ramai.

Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh berkata, teknologi yang digunakan itu akan membuka satu era baharu dalam penggunaan teknologi berkualiti tinggi yang pelbagai fungsi.

Beliau berkata, Digital Fuji X-ray yang diperkenalkan iti menggunakan sistem automasi penuh dengan dilengkapi sistem FDR Smart X yang terkini.

“FDR Smart X adalah satu sistem X-ray Fujifilm menawarkan konfigurasi tiubsinar X yang boleh digantung di siling untuk digunakan secara fleksibel.

“Kemudahan ini bukan sahaja memberi faedah kepada warga Melaka tetapi menjadikan mereka sentiasa cakna dalam hal penjagaan kesihatan sekali gus merancakkan sektor ekonomi negeri ini,’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam program pelancaran Mesin Digital Fuji X-Ray dan Perasmian Klinik Putra Sdn Bhd di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn Bhd Datuk Wira Radhuana Salleh dan Pengerusi Klinik Putra Sdn Bhd, Datuk Dr Malik Feisal Ayub.

Pada masa sama beliau berkata, klinik yang beroperasi 10 tahun lalu bertapak di Menara TM kini telah berpindah ke lokasi baharu menawarkan perkhidmatan terbaik buat rakyat di negeri ini.

“Klinik Putra adalah anak syarikat milik Perbadanan Ketua Menteri Melaka telah diberi amanah menguruskan operasi mengikut garis panduan dan ketetapan Akta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita meminta semua agensi kerajaan negeri untuk terus menyokong operasi klinik ini dan menggalakkan kakitangan untuk mendapatkan rawatan di sini.

“Lokasi ini strategik dan berdekatan dengan bangunan Jabatan Kerajaan Negeri Melaka. Klinik ini juga menyediakan perkhidmatan setempat dimana kakitangan perubatannya bersedia memberikan pemeriksaan di tempat kerja,” katanya.

Klinik Putra Sdn Bhd dibuka khas buat anak Melaka beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 10 malam dan diawalkan penutupannya sehingga 5 petang pada hari Ahad dan cuti umum.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2103
Kongsi :
Previous post Pembukaan sempadan: ATM sentiasa siap siaga
Next post Kerajaan negeri di Semenanjung diminta tingkat kawasan berhutan
Ubah saiz-+=