Pernah putus asa, kini punyai 1,000 bunga orkid

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BUKIT KATIL 31 Januari – Pernah berputus asa pada awal percubaan menjual pokok bunga orkid, kini Amnah Ismail,66, mempunyai kedai yang menempatkan lebih 1,000 bunga orkid di Kampung Gelam.

Tidak hairanlah ramai yang berminat untuk membeli bunga orkid di kedainya, ini kerana Amnah sentiasa menjaga dengan rapi pokok bunganya bagi memastikan ia segar, subur dan menghasilkan bunga yang cantik.

Menurut Amnah, lebih 10 tahun pengalaman dalam menanam bunga orkid pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi termasuk bunga orkidnya mati diserang jangkitan kulat.

“Saya berniaga bunga orkid lebih 10 tahun, cabaran pada awal perniagaan banyak pokok yang mati akibat jangkitan kulat, peringkat awal kita masih belum faham sepenuhnya dengan perangai dia (bunga orkid) jadi bila satu pokok yang sakit semua akan merebak.

“Mula-mula memang saya hampir berputus asa sebab modal dikeluarkan juga banyak, tetapi disebabkan minat dan dalam proses memahami bunga orkid, saya teruskan juga perniagaan ini.

“Jika kita tahu asas untuk tanam bunga orkid sebenarnya tidak susah, orkid memerlukan pencahayaan, pengudaraan, penjagaan air dan baja serta racun serangga yang betul,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

photo_2023-01-28_17-55-54
Peniaga, Mohd Isa Jantan, 69 dan isterinya, Amnah Ismail, 65 menunjukkan sebahagian dari bunga Orkid yang dijualnya sempena Program Jualan Terus Dari Ladang dengan kerjasama FAMA Negeri Melaka di Bukit Katil, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Katanya bunga orkid boleh dijual serendah RM10 dan mencecah sehingga RM200 mengikut kepada penjagaan serta bunganya yang lebat.

“Kadar harga anak pokok orkid bermula dari RM10 sehingga (mencecah) harga bangsawan RM200 (jenis dendrobium dawn Mary). Harganya mahal kerana (dari segi) penjagaan, kos dan bunganya yang sentiasa tumbuh mekar.

“Ramai pelanggan yang datang kali pertama untuk menanam orkid tidak tahu cara penjagaannya, tetapi saya tidak pernah kedekut ilmu untuk berkongsi tips tanpa mengenakan apa-apa bayaran.

“Kebiasaannya bunga orkid yang sentiasa mendapat perhatian adalah bunga orkid dendrobium kerana harganya yang tidak mahal dan penjagaan tidak terlalu rumit,” katanya ibu kepada lima anak ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2280
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir di Johor terus menurun, Pahang dan Sabah kekal
Next post Roti arab cicah kari kambing, memang padu!
Ubah saiz-+=