Persiapan HBN2024 giat dijalankan

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

GADEK 21 April – Kerajaan Negeri bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) giat menjalankan persediaan bagi penganjuran sambutan Hari Belia Negara 2024 (HBN2024) peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 Mei depan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam berkata, satu penghormatan khususnya kepada Kerajaan Negeri apabila Melaka dipilih menjadi tuan rumah kepada penganjuran program berskala besar dan sudah pasti persiapan rapi perlu dibuat.

Katanya, sepanjang berlangsungnya sambutan itu pelbagai program menarik disediakan antaranya segmen litar, aktif, niaga, ekspresi, muzik dan mahir.

“Sambutan HBN2024 amat bermakna untuk negeri Melaka apabali terpilih menjadi tuan rumah kerana ia akan menjadi tumpuan bukan sahaja dalam kalangan penduduk Melaka tetapi juga dari luar negeri ini.

“Untuk itu sebagai persediaan untuk memastikan penganjuran berjalan lancar kita sudah mengadakan tiga mesyuarat bersama KBS dan pihak yang terbabit. Ia bagi memastikan program akan berjalan dengan jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, di Bandar Satelit, Pulau Sebang, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman selain Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem.

Shanmugam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek berkata, penganjuran HBN2024 juga secara tidak langsung akan menyemarakkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Menerusi program ini juga kita lihat ia mampu menarik tumpuan dan menjadi tarikan kepada orang ramai untuk mengambil bahagian sekaligus datang ke Melaka.

“Secara tidak langsung akan merancakkan sambutan TMM2024 dan merealisasikan sasaran Kerajaan Negeri yang menyasarkan kehadiran 18.7 juta pelancong ke Melaka,” katanya.

Jelasnya, sebelum berlangsungnya sambutan peringkat kebangsaan, terlebih dahulu akan diadakan Program Hari Belia Negara Peringkat Negeri dijadualkan pada 18 dan 19 Mei dengan pengisian pelbagai program.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

79
Kongsi :
Previous post Lebih 5,000 pengunjung meriahkan sambutan Rumah Terbuka Gadek
Next post Bas ekspres terbakar: 16 terselamat
Ubah saiz-+=