Perspektif Tun Mohd Ali

Masa Membaca:7 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 12 Okt. – Riak wajahnya tenang dan senyuman tidak pernah lekang dari bibir membuatkan perwatakan Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam sangat sebati dengan gelaran pemimpin berjiwa rakyat.

Malah, sikap berpendirian tegas serta berusaha bersungguh-sungguh untuk memakmurkan rakyat dan Negeri Melaka menjadikan pelbagai pembangunan dipacu ketika beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka kesembilan pada 2 Disember 1999 hingga 6 Mei 2013.

Sehingga beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka ketujuh, Mohd Ali masih mengutamakan pembangunan negeri bagi memastikan rakyat mendapat impaknya daripada kesan ekonomi itu.

Ini dapat dilihat daripada gaya beliau bersungguh-sungguh untuk menyumbang idea untuk pembangunan negeri terutama dalam melonjakkan Melaka sebagai negeri terbaik dalam senarai pendapatan perkapita ke paras yang lebih tinggi.

Menurutnya, kerajaan negeri yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali perlu mempertahankan perkara itu dari semasa ke semasa sesuai dengan peredaran pertumbuhan ekonomi negeri.

“Pencapaian kita masih boleh dilonjakkan lebih tinggi dari segi pendapatan perkapita iaitu dengan mensejahterakan rakyat dalam semua bidang.

“Cabaran kita pada hari ini adalah bagaimana hendak mengukur pencapaian kita dan ianya perlu naik peratusan markah pada setiap tahun.

“Kalau dulu, kita mencapai purata pertengahan dan memasuki dalam kategori negeri maju berpandukan kriteria Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD), tetapi apa yang dicapai itu sekadar ‘cukup makan’,” katanya.

Mohd Ali berkata, tidak salah mengambil contoh negeri membangun yang lain yang lebih ke hadapan dalam bidang tertentu.

“Melaka boleh maju dalam bidang tertentu kerana di sinilah tempat pelbagai budaya bermula, selain Melayu, India dan Cina, kita ada Baba Nyonya, Chetti dan Portugis serta Orang Asli, semuanya berintegrasi di sini.

YANG di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam

“‘The multing-port’ atau kepelbagaian kaum, di sinilah tempatnya di mana semua kaum hidup dalam keadaan bersatu padu, semua rakyat Melaka boleh menyanyi Dondang Sayang, malah boleh berpantun, jadi semua tradisi yang ada di negeri ini perlu diperkuatkan lagi.

“Sejarah kejatuhan empayar Kesultanan Melaka, sejarah pendudukan Portugis, Belanda, malah sejarah Jepun juga bermula di sini, jadi sebagai ‘custodian’ (penjaga) warisan Malaysia, rakyat perlu pertahankan serta semarakkan lagi bahawa kita pemegang khazanah negara,” jelasnya.

Dari segi pembangunan ekonomi, Mohd Ali berkata kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk meningkatkan pendapatan rakyat termasuk mengurangkan garis kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat.

“Kita perlu lahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan orang Melaka, mengalu-alukan pelaburan dari luar negara dari segi pembangunan digital ekonomi yang berasaskan pengetahuan.

“Malah kita juga mampu menjadi hub kesihatan, kalau dilihat Singapura terkenal sebagai pusat kesihatan dunia, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang juga menjadi tumpuan pesakit dari luar negara mendapatkan perkhidmatan perubatan, kita juga boleh maju dalam bidang itu,” katanya.

Mengulas lanjut, jelasnya bagi memastikan bidang pelancongan kesihatan itu dibangunkan, taraf pendidikan anak-anak Melaka perlu dipertingkatkan.

“Apa yang disebut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali, ‘Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia’ itu amat tepat.

“Apabila kita maju, kita mesti membahagiakan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Ali turut menekankan supaya rakyat mengambil cabaran terhadap situasi pandemik yang melanda negara dengan memulakan perniagaan dengan mengutamakan kualiti produk tersebut.

Ujarnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama rakyat juga perlu menitikberatkan soal kebersihan demi memacu ekonomi pelancongan negeri.

“Saya minta PBT perlu melatih tukang masak yang terdiri daripada pengusaha restoran kecil-kecilan supaya mengajar mereka memasak masakan yang sedap dan berkualiti.

“Di institut pengajian tinggi (IPT) yang ada di Melaka seperti UTeM (Universiti Teknikal Malaysia Melaka), KUIM (Kolej Universiti Islam Melaka), malah kolej komuniti serta sekolah perlu sediakan kelas masakan sebagai kokurikulum,” katanya.

Sebagai warga Malaysia yang sudah mengecapi kemerdekaan 63 tahun, Mohd Ali mengingatkan supaya negara tidak terlalu bergantung kepada pelaburan dari luar negara sahaja sebaliknya merangka inisiatif untuk keluar daripada kepompong zon selesa bagi memakmurkan negara.

“Jika kita hendak bangunkan teknologi dan industri, kita perlu keluar dari Malaysia dan melabur di negara lain supaya kita meraih keuntungan, sebagaimana Negara China di mana negara itu agak ketinggalan suatu ketika dahulu, dan kini semakin mengorak ke hadapan.

“Kita sudah merdeka 63 tahun, malah Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah menginjak 50 tahun, pencapaian kita masih dipertikaikan jadi sebagai warga Melaka dan Malaysia, kita ambil ini sebagai satu cabaran besar untuk terus maju ke hadapan, membahagiakan diri kita, keluarga, negeri dan negara, secara keseluruhannya.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan oleh Ketua Menteri sendiri beliau telah banyak memulakan perbincangan dalam kerajaan untuk membina masa depan Melaka dan saya yakin usaha kita dengan izin Allah SWT, kita akan terus maju jaya, rakyat bahagia menggamit dunia,” katanya.

Integrasikan pembangunan persisiran pantai

MELAKAA Waterfront Economic Zone atau M-WEZ yang bakal menjadi koridor ekonomi baharu negeri yang akan dibangunkan di kawasan tambak laut seluas 15,000 ekar sepanjang 22 kilometer, dari Umbai hingga ke Tanjung Bruas. Foto arkib MHI

WILAYAH koridor ekonomi baharu dinamakan sebagai Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) yang memberi pelaburan berimpak tinggi perlu berlandaskan kepada ‘masterplan’ supaya pembangunan kawasan itu berpaksikan kepada satu matlamat.

Mohd Ali berkata, idea yang dicetuskan Ketua Menteri itu merupakan usaha yang cukup baik untuk mengembalikan kegemilangan empayar Melaka yang suatu ketika dulu pernah menjadi perhatian seluruh dunia.

Bagaimanapun, mercu tanda baharu ekonomi negeri itu perlu bersandarkan kepada pelan tindakan yang khusus supaya syarikat pelabur menjadikannya sebagai panduan dalam merencana pembangunan di kawasan itu.

“Sekarang ini, kita masih belum ada ‘masterplan’ itu dan membiarkan sahaja pihak swasta membangunkan kawasan itu mengikut citarasa mereka, jadi saya tengok mereka banyak membangunkan kawasan ala Melaka Raya, dengan pembinaan rumah kedai dua tiga tingkat jadi itu tidak menarik minat (pembeli).

“Kalau kita ambil contoh Gold Coast (di Sydney, Australia) dan kemudian tukar nama kepada Diamond Coast misalnya, apa komponen atau konsep yang perlu ada dan pembangunan yang hendak dibina.

“Justeru, apabila pemaju hendak mencadangkan pembangunan di sesuatu kawasan itu, mereka boleh tengok semula panduan pelan utama, itu sebab kita perlu ada rangka tindakan (blueprint) yang bagus untuk mengunjur kepada satu matlamat,” katanya.

Tarik pelabur dalam dan luar negara 

MOHD Ali diiringi Sulaiman ketika melihat pelan cadangan pembangunan zon pelancongan Ayer Keroh selepas Program Gotong-Royong Perdana di Taman Botanikal Ayer Keroh baru-baru ini. Foto arkib MHI

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata menerusi rangka tindakan itu, kerajaan negeri perlu menarik pelabur dari dalam dan luar negara bagi membina pusat perniagaan yang besar di kawasan M-WEZ itu.

“Pelabur yang mahu melabur ke Melaka, mereka masih fikir negeri ini tidak cukup penduduk untuk membina pusat perniagaan yang besar seperti Mid Valley (Megamall), Pavilion sebagaimana di Lembah Klang, jadi yang ini kita perlu ada perancangan yang baik bagi menghubungkan koridor baharu itu supaya lebih ramai datang ke negeri ini,” katanya.

Ujarnya, bagi memperkukuh pembangunan wilayah ekonomi baharu yang mampan, kemudahan infrastuktur yang mantap juga perlu dirancakkan bagi menghubungkan jaringan antara kawasan di sepanjang koridor tersebut.

Kuasai bidang digital

KERAJAAN negeri perlu melahirkan lebih ramai rakyat yang mahir dalam pelbagai bidang termasuk digital ekonomi; perubatan; pendidikan dan keusahawanan. Foto unsplash.com

Di samping itu, jelasnya dalam mengintegrasikan pembangunan Melaka di kawasan persisiran pantai itu, kerajaan negeri perlu melahirkan lebih ramai rakyat yang mahir dalam pelbagai bidang termasuk digital ekonomi; perubatan; pendidikan dan keusahawanan.

“Sekarang, ekonomi digital sudah meliputi semua kegiatan dalam kehidupan kita, perubatan perlu menggunakan digital ekonomi, malah ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) juga kini dipanggil ‘digital mall’.

“Jadi, orang Melaka mesti fokus kepada pengetahuan ekonomi dalam pelbagai bidang mengikut kehendak orang ramai dan kehendak semasa,” katanya.

Lebarkan jaringan pembangunan ekonomi

APABILA kita sudah ada koridor baharu, kita kena ada komunikasi antara koridor baharu pantai Melaka dengan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), jadi jika itu ada dalam ‘masterplan’, pelabur boleh ikut panduan itu – Mohd Ali.

Tidak terhenti di situ, Mohd Ali turut berkongsi idea untuk kerajaan negeri menggiatkan usaha untuk melebarkan jaringan infrastruktur antara kawasan di sepanjang koridor baharu itu.

“Apabila kita sudah ada koridor baharu, kita kena ada komunikasi antara koridor baharu pantai Melaka dengan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), jadi jika itu ada dalam ‘masterplan’, pelabur boleh ikut panduan itu.

“Ia amat baik untuk mengintegrasikan pembangunan Melaka di bahagian persisiran pantai dengan sebelah tengah Melaka supaya ia bersempadanan dengan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS),” katanya.

Bercerita lanjut, Mohd Ali mengharapkan agar Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) diperluaskan kawasan bagi merancakkan penerbangan antarabangsa di lapangan terbang itu.

Ujarnya, usaha untuk membesarkan kawasan lapangan terbang itu sekali gus mampu menarik kehadiran pelancong terutama di negara jiran untuk mendapatkan kemudahan perubatan di negeri ini.

“LTAM perlu diperbesarkan supaya menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dan jika kita berjaya memanjangkan landasan mengikut jarak yang sepatutnya, kita mampu menarik berpuluh ribu pesakit terutama dari Jakarta untuk pelancongan perubatan di Melaka.

“Sebelum ini ada cadangan untuk memindahkan LTAM ke lokasi lain namun saya punya pandangan biarlah ia kekal di situ kerana ia mempunyai nilai sejarahnya.

“Tunku Abdul Rahman mendarat di Batu Berendam untuk mengisyhtiharkan kemerdekaan selepas pulang dari London, jadi lapangan terbang itu mempunyai sejarahnya tersendiri,” katanya.

Views:

786
Kongsi :
Previous post Perniagaan diusaha bertahun-tahun musnah sekelip mata
Next post Marikh capai jarak paling hampir dengan bumi pada Selasa
Ubah saiz-+=