PERTAMe bela kebajikan madrasah tahfiz Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BUKIT KATIL 18 April – Persatuan Tahfiz Melaka (PERTAMe) secara rasmi dilancarkan berfungsi sebagai sebuah pertubuhan mengelola madrasah tahfiz di negeri ini.

Pengerusinya Professor Madya Musa Ahmad berkata, objektif penubuhan PERTAMe adalah bertujuan menjaga kebajikan, selain hal ehwal institusi madrasah tahfiz swasta agar lebih bersepadu dan tersusun.

Selain itu, PERTAMe juga katanya, bertindak sebagai penghubung kepada semua institusi bagi menghadapi cabaran masa kini.

“Dalam pada itu, PERTAMe juga diwujudkan bagi menyelaras maklumat pelajar, guru-guru agama di bawah satu sistem bersepadu serta mengawal perpindahan pelajar-pelajar bermasalah agar tidak menjadi punca masalah kepada institusi madrasah.

“PERTAMe juga akan bertindak merancang strategi perkembangan dari semasa ke semasa bagi membangunkan kualiti pendidikan institusi tahfiz.

“Justeru, kita menyeru semua madrasah tahfiz di Melaka untuk bergabung di bawah satu organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Iftar Perdana, Perasmian Persatuan Tahfiz Melaka dan Pemberian Sumbangan Bakul Rezeki Tahfiz.

Hadir sama Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al Quran Malaysia (PERMATA) Manolito Mohd Dahlan dan lain-lain kenamaan yang diadakan di Madrasah Tahfiz Al Quran Rabiatul Adawiyah, di sini, semalam.

Sementara itu, Manolito dalam ucapannya memaklumkan PERTAMe merupakan pertubuhan peringkat negeri yang kesembilan di bawah naungan PERMATA di peringkat kebangsaan.

Ujarnya, kewujudan persatuan tahfiz sangat penting dalam membawa isu-isu yang berkaitan dengan institusi berkenaan, selain mengubah stigma masyarakat yang melabel maahad tahfiz sebagai pendidikan kelas kedua.

“Tujuan mewujudkan persatuan peringkat negeri ini adalah bagi membentuk gagasan sebuah gabungan organisasi yang besar bagi membawa isu-isu yang berkaitan dengan institusi madrasah tahfiz di Malaysia.

“Diharap penubuhan di setiap negeri dapat membawa suara akar umbi maahad tahfiz ke peringkat tertinggi, kerana sebelum ini maahad tahfiz dilihat sebagai ‘second class education’ di Malaysia,” katanya.

Jelas beliau, setakat ini terdapat sebanyak 1,198 buah istitusi tahfiz seluruh negara termasuk yang tidak berdaftar.

Jumlah itu merangkumi 84,633 pelajar dan 10,357 guru tahfiz berdaftar di Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2060
Kongsi :
Previous post 24 pusat pemasangan RFID disediakan di lebuh raya PLUS
Next post Perdana Menteri ajak umat Islam baca, hayati al-Quran
Ubah saiz-+=