Pertingkat ciri keselamatan, hakcipta lambang dan jata darjah kebesaran – MDDNM

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

MELAKA RAYA 17 Ogos – Bagi mencegah kes pemalsuan darjah kebesaran, Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka (MDDNM) akan meningkatkan ciri keselamatan pada kad keahlian serta akan memohon hakcipta ke atas lambang dan jata negeri.

Presiden MDDNM, Datuk Wira Jahaya Mat menerusi kenyataan media hari ini berkata, tindakan itu susulan tertumpasnya sindiket pemalsuan darjah kebesaran dan watikah darjah kebesaran Negeri Melaka, minggu lalu.

Katanya, pihak MDDNM memandang berat berkenaan isu pemalsuan tersebut khususnya yang melibatkan nama MDDNM.

“Secara tidak langsung isu pemalsuan darjah kebesaran ini telah mencemarkan kemuliaan dan imej darjah kebesaran Negeri Melaka.

“MDDNM juga akan memastikan bahawa keahlian MDDNM adalah terdiri dari penerima-penerima darjah kebesaran yang tulen dan yang sah sahaja. Keahlian-keahlian palsu akan kami laporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“MDDNM menyokong sepenuhnya usaha Kerajaan Negeri Melaka dan PDRM untuk membasmi atau membendung kegiatan pemalsuan ini,” katanya.

Dalam kenyataan tersebut pihak MDDNM turut mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan seluruh warga kerja PDRM susulan tindakan mematahkan sindiket pemalsuan darjah kebesaran negeri Melaka.

Ujarnya, MDDNM memandang berat isu tersebut dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan kerajaan negeri untuk membasmi sindiket terbabit.

“MDDNM merupakan sebuah pertubuhan berdaftar yang mempunyai matlamat untuk menjaga taraf kemuliaan dan imej darjah kebesaran Negeri Melaka dan menyokong sepenuhnya usaha Kerajaan Negeri Melaka dan PDRM untuk membasmi atau membendung kegiatan pemalsuan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1325
Kongsi :
Previous post Ahli Dewan Rakyat perlu serat surat akuan pilih PM selewat-lewatnya 4 petang esok- Speaker
Next post ‘Kita hanya selaras, sampaikan dasar’ – Mohd Nasrul
Ubah saiz-+=