Peruntukan bantuan usahawan tani meningkat hampir 30 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

RIM 14 Sept. – Jabatan Pertanian Negeri Melaka memperuntukkan sebanyak RM602,035 bagi membantu usahawan tani di daerah Jasin meningkatkan hasil menerusi pertanian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, peruntukan yang diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu akan dimanfaatkan kira-kira 81 penerima.

Katanya, berbanding pada tahun lalu sebanyak RM428,130.80 diperuntukkan kepada usahawan di Daerah Jasin, sekali gus menjadikan jumlah bantuan peruntukan meningkat 28.8 peratus.

“Pertambahan dalam peruntukan itu adalah disebabkan penambahan bilangan usahawan tani yang berminat untuk menceburi bidang pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutup Hari Ladang dan Majlis Penyerahan Peruntukan Tahun 2020 di Dewan Alamanda, Jasin di sini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Eliyas Saad.

Beliau berkata peruntukan itu akan disalurkan menerusi beberapa program pertanian yang berkaitan bagi meningkatkan hasil pertanian masing-masing.

“Antara projek pertanian yang disalurkan termasuk projek pembangunan tanaman semula buah-buahan terpilih sebanyak RM210,245, projek pembangunan kluster tanaman kontan sebanyak RM64,390 melibatkan tanaman tebu dan keledek.

“Bagi projek bantuan peningkatan hasil sayuran, sebanyak RM52,450 manakala bagi projek MyGap dan MyOrganik sebanyak RM41,950,”katanya.

Mengulas lanjut katanya, peruntukan yang disalurkan itu diharap dapat memberi galakan untuk mengeluarkan hasil yang lebih tinggi.

Views:

458
Kongsi :
Previous post Terkejut, sebak jumpa ‘Abah’ depan mata
Next post Pemindahan secara berperingkat ke TNB MITC
Ubah saiz-+=