Pesakit kanser sedia dibantu

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 6 Februari – Beberapa jabatan dan agensi kerajaan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) sedia dalam membantu pesakit kanser yang tidak berkemampuan bagi mendapatkan rawatan.

Exco Hal Ehwal Wanita dan Keluarga negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, pesakit kanser perlu mendapat rawatan yang khusus bagi merawat penyakit itu daripada terus merebak.

“Bagi yang kurang berkemampuan, rujuklah kepada jabatan atau agensi kerajaan yang menawarkan bantuan kewangan bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung.

“Seperti di Melaka kita ada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) atau boleh juga ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan MySalam serta badan NGO yang lain,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Hari Kanser Sedunia: Februari Untuk Semua anjuran Pertubuhan Pejuang Kanser Melaka (PPKM), semalam.

Menurut beliau, ahli keluarga dan rakan terutamanya perlu memberi sokongan tidak terhingga kepada pesakit bagi memberi semangat untuk mereka berjuang melawan kanser.

“Berilah kata-kata positif, sokongan dari segi emosi mahupun kewangan jika berkemampuan supaya mereka ini bersemangat untuk melawan penyakit dihidapi dan turut diingatkan jangan pula menawarkan pelbagai rawatan alternatif serta ubatan yang tidak disahkan.

“Malah saya turut menyeru kepada semua agar sama-sama mengambil tanggungjawab bagi membantu pesakit yang memerlukan kerana kebertanggungjawapan ini bukan sahaja di letakkan dibahu kerajaan namun bersama-samalah kita memainkan peranan bersama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1996
Kongsi :
Previous post Cari damai di Pulau Besar
Next post MBMB rangkul dua anugerah pelancongan Asia Tenggara
Ubah saiz-+=