Arwah suami mahu anak jadi hufaz

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

TANJUNG BIDARA 12 Ogos – “Allahyarham suami mahu anaknya hafaz 30 juzuk al-Quran sebagai panduan hidup dan untuk disedekahkan kepada arwah dan saya apabila kami sudah tiada kelak.”

Itulah yang diucapkan isteri Allahyarham Azizan Hassan, Ainon Fazilah Mohamad, 36, mengenai anak mereka Azizuddin Azizan, 11,dan Azzahra, 9.

Beliau berkata, kedua-dua anaknya itu dihantar oleh arwah suami menuntut di sebuah pusat tahfiz di Masjid Tanah sejak beberapa tahun lalu dengan harapan mereka mampu menjadi hufaz al-Quran.

“Arwah memang mengimpikan anaknya hafaz al-Quran dan sering mengingatkan mereka supaya mencintai al-Quran kerana selain panduan hidup, al-Quran juga membantu kita di alam barzakh dan akhirat kelak.

“Mereka sangat berminat meneruskan pengajian agama dan menghafaz al-Quran, selain memahami apabila saya menyatakan kepada mereka, arwah ayah tidak akan kembali lagi dan amat berharap agar mereka berjaya menjadi hufaz al-Quran,” katanya.

AZIZUDDIN, Azzahra dan Ainon Fazilah (dalam kereta) memerhatikan dari jauh jenazah Azizan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Londang, Masjid Tanah lewat petang semalam.

Dia ditemui bersama anak-anaknya pada pengebumian arwah suami di Tanah Perkuburan Islam Kampung Londang, di sini lewat petang semalam.

Kira-kira 100 orang, terutama rakan dan penduduk kampung yang menghadiri pengebumian hanya dibenarkan berada kira-kira 400 meter dari kubur.

Pengebumian disempurnakan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang lengkap menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE).

Ainon berkata, arwah juga mahu anaknya mewarisi perniagaan mereka suatu hari kelak dan muncul sebagai antara ahli perniagaan berjaya di negeri ini.

“Insya-Allah saya akan membimbing ketiga-tiga anak kami untuk mencapai kejayaan dalam agama dan perniagaan,” katanya.

Arwah Azizan adalah bekas Pengurus Besar MAIM Holdings Berhad, iaitu syarikat pelaburan milik Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), selain memiliki perniagaan sendiri.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka pada jam 10 malam kelmarin selepas ditidurkan beberapa jam sebelum itu.

Arwah dan anggota keluarga menjalani kuarantin selama 10 hari di kediaman mereka di sebuah taman di sini, mulai 23 Julai lalu tetapi arwah mengalami komplikasi paru-paru dan buah pinggang yang menyebabkannya meninggal dunia.

ARTIKEL BERKAITAN:Bekas Pengurus Besar MAIM Holdings meninggal dunia akibat COVID-19

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

565
Kongsi :
Previous post Polis Kelantan rampas dadah bernilai RM10.92 juta di Tumpat
Next post Kluster kilang minimum jika pematuhan SOP diperketat
Ubah saiz-+=