Bekas Pengurus Besar MAIM Holdings meninggal dunia akibat COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

TANJUNG BIDARA 11 Ogos – Bekas Pengurus Besar MAIM Holdings Berhad, iaitu syarikat pelaburan milik Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Azizan Hassan, menghembuskan nafas terakhir akibat pandemik COVID-19, malam tadi.

Allahyarham Azizan, 43, meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka pada jam 10 malam selepas ditidurkan sebelum itu.

Isteri arwah, Ainon Fazilah Mohamad, 36, berkata, beliau dan arwah suami serta tiga anak berusia lima, sembilan dan 11 tahun menjalani kuarantin selama 10 hari di kediaman mereka di sebuah taman di sini, mulai 23 Julai lalu.

“Bagaimanapun, saya dan tiga anak tidak bergejala manakala arwah mengalami demam panas dan saya membawanya ke Hospital Alor Gajah pada 24 Julai lalu.

“Doktor memindahkan arwah ke wad biasa di Hospital Melaka pada 25 Julai manakala kami empat anak beranak menjalani kuarantin di rumah,” katanya ketika dihubungi di kediamannya hari ini.

ALLAHYARHAM Azizan Hassan bersama-sama Ainon Fazilah dan tiga anak berusia lima, sembilan dan 11 tahun.

Dia berkata, oleh sebab demam arwah tidak kebah, malah bertambah teruk, arwah dipindahkan ke ICU selepas sembilan hari dirawat di wad biasa.

Katanya, sepanjang berada di ICU, arwah mengalami masalah pernafasan berikutan kadar oksigen dalam tubuh semakin berkurangan yang menyebabkan arwah terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Arwah sempat membuat dua panggilan video sebelum menghembuskan nafas terakhir dan tidak alpa untuk berpesan supaya Ainon menjaga ketiga-tiga anak dengan baik, katanya.

“Arwah juga berpesan supaya kami jangan sekali-kali meringan-ringankan solat kerana solat adalah tiang agama dan meminta kami supaya sentiasa berbuat baik sesama manusia.

“Selain itu, arwah juga berpesan supaya memastikan keuntungan daripada perniagaan kami diagihkan kepada insan lain melalui zakat dan sedekah,” katanya.

Sehubungan itu, Ainon berjanji memastikan pesanan berkenaan sentiasa diamalkan demi kesejahteraan roh arwah dan kehidupan mereka sekeluarga.

Katanya, sepanjang berkongsi hidup dengan arwah, dia dididik supaya tidak menganiaya sesama manusia, mahu pun haiwan, sebaliknya harus sentiasa hormat-menghormati demi ukhwah sesama insan.

Jenazah arwah dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Londang, di sini, iaitu kampung arwah pada petang atau malam ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1252
Kongsi :
Previous post Pulau Pinang pulau ketiga terbaik dunia untuk pesara
Next post VAKSIN: 25.3 juta dos vaksin diberikan setakat semalam
Ubah saiz-+=